TELUK INTAN – Rakyat di negeri ini diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan janji cuti dua hari yang diberikan Harapan Perak sekiranya mereka menang PRU14 Mei ini.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, sebaliknya rakyat perlu melihat janji realistik yang memberi perkhidmatan dan faedah kepada mereka untuk tempoh panjang.

“Perkara sebegitu adalah biasa sebagai strategi untuk menarik pengundi, macam-macam janji boleh dibuat oleh mana-mana parti bertanding apa yang penting janji yang memberi manfaat panjang.

Advertisement

“Cuti, siapa tak suka cuti tapi yang lebih penting adalah janji realistik, oleh itu janganlah terpengaruh kerana cuti adalah perkara bermusim,” katanya kepada Sinar Harian selepas Program Kasihi Pekebun Kecil “Moh Ngeteh” bersama Orang Asli di Kamung Orang Asli Palawan di Langkap pagi tadi.

Menurut Zainol Fadzi lagi, apa yang dijanjikan BN sebelum ini dilakukan secara konsisten walaupun masih ada yang belum ditunaikan 100 peratus tetapi ia menuju ke arah itu dan sudah dilaksanakan.

“Sebab itu kita merupakan negara yang banyak kementerian dan boleh dikatakan hampir semua peringkat rakyat di bawah kelolaan dan pengetahuan kerajaan untuk diberi bantuan dan perkhidmatan.

“Perkara ini memastikan semua rakyat dapat manfaat dan kita banyak menerima pengiktirafan antarabangsa dari segi bagaimana kita berkhidmat kepada rakyat melalui agensi dan jabatan kerajaan,” katanya.

Terdahulu Harapan Perak mengumumkan mereka akan memberi cuti umum dua hari 10 dan 11 Mei sekiranya memenangi PRU14 di negeri ini 9 Mei nanti – sinar