KUALA LUMPUR: Datuk seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengingatkan seluruh ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) supaya tidak terperangkap dengan strategi serangan mengejut saat-saat akhir (SLMA) pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)nanti.

Menurut Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, serangan mengejut tersebut jika tidak ditangani dengan bijak boleh mengalihkan sokongan pengundi kepada BN dan pernah berlaku pada PRU-13 dahulu.

“KIta harus hidu awal isu dan pembohongan yang dimainkan oleh strategis pembangkang.

“Kita letak tanggungjawab kepada Biro Penerangan, Biro Teknologi Maklumat dan unit media sosial sedia jawapan dan serang balas dengan cepat,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan ucapan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Dalam ucapan itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan ahli UMNO supaya tidak berasa selesa dengan kekuatan yang ada pada parti hari ini.

“Jika ada dalam minda kita, pertandingan dua penjuru akan bagi kelebihan, itu tidak tepat, kerana disesetangah kawasan ia tidak akan menguntungkan kita. Biar pun kita berharap pertandingan dua penjuru, ada kawasan dilihat terdapat risikonya.

“Oleh itu parti harus dikukuh dari dalam dan bukan bergantung kepada kelemahan pembangkang. Pembangkang hidup atas isu tetapi BN bergerak atas asas agenda,” katanya. – UTUSAN ONLINE