GOPENG – Semua jabatan dan agensi kerajaan perlu bersikap lebih peduli mengenai permasalahan penduduk di kawasan masing-masing tanpa perlu menunggu aduan dilaporkan.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, langkah seumpama itu dapat mengelak isu yang sebenarnya kecil berlarutan hingga mengakibatkan masalah lebih besar berlaku.

“Apa yang diamalkan sebelum ini perlu diubah bagi membuktikan kerajaan baharu benar-benar prihatin terhadap rakyat.

“Daripada menteri besar, Exco hinggalah ke jabatan, semua kena mainkan peranan ambil pendekatan mencari masalah dihadapi rakyat dan selesaikannya dengan kadar segera.

“Jika dibiarkan, daripada satu masalah akan berlarutan menjadi masalah yang lebih besar, ambil contoh longkang tersumbat, jika tidak ditangani lebih awal berlaku pula banjir dan sebagainya,” katanya ketika ditemui ada program Adun Sungai Rapat bersama masyarakat di Taman Maju Rapat, hari ini.

Beliau berkata, dengan kuasa sebagai kerajaan, Pakatan Harapan akan meneruskan misi menyelesaikan masalah rakyat dengan cara lebih tersusun mengikut bidang tugas jabatan sedia ada.

“Majlis Agama (Islam dan Adat Melayu Perak) dengan  kebajikan asnaf, pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan isu infrastruktur dan sebagainya, kita nak tolong lebih ramai rakyat selepas ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Nizar memaklumkan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Perak yang dijadualkan, semalam ditunda, esok.

Katanya, penangguhan itu dilakukan bagi memberi ruang lebih banyak isu dapat dibincangkan termasuklah pelantikan Ketua Srikandi PKR Pusat, Siti Aishah Shaik Ismail sebagai penasihat menteri besar.

“Banyak agenda yang kita kena bincangkan bersama, selain isu pelantikan penasihat, perkara lain seperti lantikan ketua kampung dan ahli majlis juga perlu diputuskan secepat mungkin,” katanya.

Beliau turut menafikan, kelewatan keputusan dicapai berkaitan ketiga-tiga isu berkenaan disebabkan jadual Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu yang padat.

“Itu kurang tepat, perkara ini belum dimuktamadkan atas  faktor lain antaranya ada parti yang menghantar lebih daripada dua calon untuk ketua kampung serta pemilihan ahli majlis kalangan NGO, kita kena cari mereka yang betul-betul berwibawa,” katanya – sinar