IPOH – Peniaga di Pasar Awam Falim, diminta segera membuat laporan polis berikutan kekerapan berlakunya kejadian ragut di kawasan itu sejak tahun lalu.

Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Manusia, Cheong Chee Khing berkata, kejadian ragut didalangi individu bermotosikal dikatakan menyasarkan peniaga pasar berkenaan yang datang berniaga seawal jam 4 pagi.

Menurutnya, oleh kerana kerugian dihadapi mereka tidak besar dan tiada kecederaan serius menyebabkan tiada laporan atau aduan kepada pihak berkuasa dilakukan.

“Mereka anggap kejadian berlaku hanya kes kecil kerana kerugian tidak libatkan barang berharga, mangsa hanya alami luka-luka kecil akibat jatuh motor dan sebagainya.

“Sepatutnya mereka laporkan sahaja, tak perlu tunggu sampai jadi kes mati atau parah, bila ada laporan, baru polis boleh buat rondaan atau jalankan penguatkuasaan di sini,” katanya ketika meninjau keadaan pasar, hari ini.

Beliau berkata, pasar yang telah beroperasi sejak lebih 50 tahun itu pernah menjadi tumpuan orang ramai terutama mereka yang tinggal di kawasan setinggan di sekitar Batu Gajah.

Bagaimanapun katanya, keadaan pasar semakin sunyi apabila ramai penduduk setinggan dipindahkan ke penempatan lain dan peniaga pula sebahagian besar beralih ke Pasar Awam Menglembu dan pasar borong yang terletak kurang 2km dari situ.

“Kita telah maklumkan perkara ini kepada pihak berkuasa agar rondaan dan pemantauan dapat dijalankan, aspek keselamatan perlu ditingkatkan di pasar awam kerana ia dikunjungi orang ramai,” katanya.

Peniaga gerai makan di pasar itu dikenali Loo, 62, antara yang pernah menjadi mangsa ragut di kawasan itu sebanyak tiga kali.

“Saya pergi pasar naik motosikal dan banyak kali kena kejar dengan motosikal lain, mereka pernah ragut beg saya menyebabkan saya jatuh, tapi mujurlah dalam beg itu hanya isi baju-baju kotor saja,” katanya.

Seperti peniaga lain, dia juga tidak pernah membuat laporan polis kerana hanya alami luka ringan – sinar harian