IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah jangan ada individu atau badan yang mahu menjadi jaguh, mengungkit dan menuntut perkara-perkara asas yang telah dipersetujui serta termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

Titah baginda, perkara-perkara asas yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan menyentuh Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain menurut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, perlu terus dipertahankan tanpa kompromi.

“Perbuatan mahu merombak persetujuan dan kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama semasa menggubal Perlembagaan Merdeka, akan hanya mengundang kepada berlakunya suasana tidak harmonis yang boleh menggugat kestabilan politik dan ketenteraman awam.

“Meskipun berlaku perubahan kerajaan, perkara-perkara asas yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan menyentuh Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain menurut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, akan terus dipertahankan dan tidak akan dikompromikan.

“Perkara-perkara tersebut jangan sama sekali mahu disensasikan oleh mana-mana pihak. Rakyat tidak harus dijadikan mangsa, bagaikan kancil terhimpit mati di tengah-tengah, apabila gajah sama gajah memilih untuk terus bertarung,” titah baginda.

 

Sultan Nazrin bertitah demikian merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.