IPOH: Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan sebarang kenyataan viral yang menular di media sosial berhubung dengan kes pembunuhan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un iaitu Kim Jong-Nam.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Sabtu Osman berkata tindakan pihak yang bertindak mengeluarkan kenyataan tersebut hanya akan menganggu keselamatan dan keamanan sedia ada.

“Orang ramai sewajarnya tidak mempercayai kenyataan atau “post” di laman sosial tersebut kerana Malaysia perlu mengekalkan hubungan yang baik bukan sahaja dengan Korea Utara malah negara-negara lain juga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Penutupan Kursus Asas 129 Konstabel Orang Asli yang melibatkan 20 wanita di Kem PGA,Ulu Kinta pada petang Selasa.

Jelas beliau, pihaknya sentiasa mengekalkan hubungan dua hala yang baik baik dari segi perbincangan dan komunikasi untuk mengelakkan sebarang insiden yang boleh mendatangkan risiko kepada Malaysia.

“Situasi buat masa ini adalah tidak begitu baik tetapi kita perlu mengesahkannya, dan buat masa ini semuanya masih berada di dalam keadaan terkawal kerana sebarang kesulitan di antara dua negara akan berada dalam akhbar,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Sabtu berkata pihaknya masih lagi melaksanakan siasatan lanjut berkenaan dengan letupan bot Komando VAT 69 yang mengakibatkan kecederaan kepada beberapa anggota yang sedang melaksanakan latihan di Jeti Kg Acheh, Manjung baru-baru ini.

“Siasatan terperinci masih dilaksanakan untuk mengetahui punca insiden berkenaan.

PGA3

“Tiada kebakaran berlaku di atas bot berkenaan namun ianya membawa muatan sebanyak 300 liter minyak di mana bateri ditempatkan…kita ingin mengetahui apakah punca yang menyebabkan letupan itu,” katanya lagi.

Dalam insiden 13 Februari lepas, seorang anggota sedang cuba menghidupkan enjin bot yang baru diperbaiki di bot Kerambit 3 sebelum kejadian letupan.

Berikutan itu, dua orang anggota komando masih ditempatkan di hospital bagi rawatan selanjutnya manakala tujuh lagi termasuk seorang mekanik telah pulih sepenuhnya.

Sementara itu, dalam siri latihan yang melibatkan wanita dari kaum Orang Asli, beliau berkata, ianya merupakan perkembangan positif kerana mereka juga dapat memberikan sumbangan kepada pihak berkuasa.

Sabtu berkata kesemua rekrut baru itu akan dihantar ke Batalion Senoi Praaq di Bidor dan Pengkalan Hulu.

“Kita masih memerlukan Orang Asli untuk menjadi polis kerana mereka merupakan pakar dalam pengesanan dan tracking sekiranya terdapat kecemasan di kawasan hutan dan kawasan pedalaman,” tambahnya.