KUALA KANGSAR – Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) digesa supaya bersedia menghadapi serangan saat akhir atau surprise last minute attack (SLMA) oleh pihak pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid hamidi berkata, serangan untuk mempengaruhi pengundi itu boleh membawa impak yang besar kepada BN sekiranya ia tidak ditangani dengan betul dan cepat.

“Serangan ini pasti sedang dicipta oleh pihak pembangkang sebagai satu ledakan bom yang akhirnya bertujuan untuk mengalihkan pandangan kita dan pandangan pengundi seluruh negara.

“Seperti pilihan raya lalu, mereka katakan lebih 40,000 warga Bangladesh dibawa masu ke negara ini yang jelas memang tiada namun kita terlalu sibuk, saat akhir persepsi pengundi ingatkan ia benar.

“Kita harus menolak sebarang serangan sebegini kerana ia adalah satu perang psikologi yang dicipta mereka untuk melemahkan semangat kita, igin saya ingatkan jentara perlu siap siaga hadapai serangan ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kuala Kangsar di sini pada Ahad.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, jentera serta semua ahli BN perlu bersatu dan mengharungi PRU-14 ini sebagai satu pasukan yang mantap serta mempunyai daya juang tinggi.

“Biar datang serangan bertubi-tubi tapi kalau kita beristiqomah, daya tahan tinggi, daya juang tinggi datang lah serangn apa pun kita akan menolak serangan dan kita akan terus bersatu padu sebagai satu pasukan.

“PRU kali ini amat sengit, Allah S.W.T telah uji kita pada PRU-12 dan PRU-13, kita diuji dua kali dan kita berjaya, kali ketiga Allah S.W.T akan menguji kita sekali lagi, ingatan saya kepada semua jangan kita gagal,” ujarnya.