GOPENG – Tidak ada kes wabak beguk tambahan dilaporkan di sekolah seluruh negeri Perak sehingga hari ini selepas 21 pelajar lelaki Sekolah Menengah Agama (SMA) Izzuddin Shah, di sini dijangkiti wabak berkenaan pada Rabu lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Menurut beliau, ini kerana penularan wabak tersebut dapat diatasi dan kebiasaanya pesakit beguk akan pulih dalam tempoh kurang dua minggu.

“Para pelajar dan ibu bapa tidak perlu bimbang kerana pelajar hanya perlu berehat untuk pulih sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa ribut di Taman Kinta, Gopeng, pada petang Ahad.

“Bagaimanapun, pihak pengurusan sekolah dan ibu bapa pelajar wajar mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan wabak tersebut tidak merebak,” ujar beliau.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pelajar sebuah sekolah agama di Perak yang dijangkiti beguk minggu lalu.

Bagaimanapun, mereka telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan dijangka kembali semula ke asrama sekolah pada 26 Sept depan.

Terdahulu,Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata kesemua pelajar lelaki yang dijangkiti wabak beguk disahkan stabil.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatannya bertemu mangsa ribut, Lee berkata sebanyak 39 buah rumah di tiga kawasan perumahan di Gopeng terlibat dalam kejadian ribut yang berlaku lewat petang semalam.

“Saya telah menghulurkan bantuan segera kepada mangsa ribut bagi meringankan beban mereka yang kebanyakannya golongan berpendapatan rendah,” katanya.