Kementerian Kesihatan yakin wabak malaria di penempatan Orang Asli di Pos Kemar, Gerik sudah berjaya dikawal apabila hanya satu kes jangkitan terbaru dilaporkan sehingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata kes jangkitan terbaru itu dikesan di luar kawasan Mass Blood Survey, iaitu aktiviti pemeriksaan darah beramai-ramai sebagai langkah awal bagi mengesan gejala jangkitan atau jangkitan di kalangan komuniti Orang Asli di penempatan itu.

Menurutnya aktiviti MBS telah dijalankan sebaik sahaja jangkitan malaria dikesan iaitu pada 17 November dengan sehingga kini sejumlah 4,189 penduduk Orang Asli melibatkan 17 kampung di Pos Kemar telah diperiksa.

Katanya lokasi Pos Kemar yang agak pendalaman menyebabkan aktiviti MBS hanya dapat diselesaikan selepas 33 hari pada 20 Disember berikutan cabaran logistik yang perlu dihadapi petugas kesihatan di lapangan.

“Aktiviti MBS pusingan kedua akan dimulakan pada 27 Disember di kampung-kampung yang ada insiden malaria melebihi 1 peratus. Kementerian Kesihatan menjangkakan jumlah kes yang dikesan akan berkurangan di pusingan MBS kedua ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr. Noor berkata sehingga 21 Disember, seramai 137 penduduk Orang Asli terdiri daripada 72 lelaki dan 65 perempuan dengan 79 merupakan kanak-kanak telah dikesan positif malaria Plasmodium Vivax kecuali satu kes melibatkan Plasmodium Falciparum.

Katanya selain MBS, aktiviti kawalan lain juga telah dipertingkatkan di kampung-kampung terlibat.

Antaranya adalah pengagihan kelambu berubat kepada penduduk, dan aktiviti semburan racun pembunuh nyamuk ke atas 724 rumah atau 100 peratus.

“Dengan kata lain kesemua rumah di penempatan itu telah disembur racun pembunuh nyamuk,” katanua.

Beliau tidak menolak punca penularan wabak malaria di kawasan itu mungkin disebabkan kehadiran pekerja asing yang terlibat dengan projek pembinaan di Pos Kemar.

Ini berikutan Pos Kemar telah diisytiharkan kawasan hijau atau bebas malaria setelah tiada kes atau jangkitan dilaporkan di penempatan itu sejak lebih dari 3 tahun lalu.

“Saringan pengesanan malaria telah dilakukan oleh JKN Perak ke atas 71 pekerja asing di situ dan kesemua slaid darah mereka didapati negative malaria. Namun begitu, pergerakan keluar-masuk yang tinggi di kalangan pekerja asing yang terlibat dalam projek pembinaan di lokaliti ini menyebabkan kemungkinan populasi pekerja asing menjadi punca jangkitan tidak dapat ditolak.

“Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab majikan untukm memastikan pekerja asing yang diambil bekerja telah disaring bagi mengesan jangkitan malaria bagi mengelakkan pekerja asing ini menjadi punca jangkitan di kalangan masyrakat tempatan,” katanya.