Oleh: Nazialita Geynna Maharan

 IPOH: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak telah menghapuskan 19 ekor anjing liar dalam satu operasi semalam bagi mengawal sebarang risiko penyakit anjing gila atau rabies di sekitar Larut Matang dan Selama.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya juga telah melaksanakan bancian dan survelan aktif ke atas 305 rumah di sekitar kawasan dalam jarak satu kilometer dari lokasi jangkitan rabies berlaku.

Katanya, pihaknya juga telah memvaksin seekor anjing dan operasi kempen kesedaran juga  giat dilaksanakan meliputi 275 pemilik rumah di sekitar lingkungan jangkitan penyakit berkenaan.

“Buat masa ini, sebanyak lima sampel kepala anjing telah diambil dan dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) bagi tujuan pengesanan penyakit rabies,” katanya lagi.

Menurut beliau, buat masa ini, operasi awal yang dilaksanakan oleh JPV Perak mengesahkan tiada sebarang petanda klinikal yang dikesan pada semua haiwan berkenaan.