Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Sebanyak 337 ekor haiwan peliharaan melibatkan anjing dan kucing di sekitar mukim Matang diberikan vaksin anti Rabies sejak kawasan itu diwartakan sebagai lokasi jangkitan anjing gila atau Rabies.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perak, Dr Fuziah Muhayat berkata, 72 ekor anjing terbiar juga telah dilupuskan dalam usaha melaksanakan kawalan virus Rabies yang sebelum ini dilaporkan di Kuala Sepetang.

Katanya, pihak JPV juga giat menjalankan usaha bersama dengan agensi kerajaan yang membantu dalam operasi itu termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Dalam operasi kali ini, JAS sebagai contohnya, akan memastikan tiada kesan sampingan yang menjejaskan sumber alam seperti air, semasa kita melaksanakan aktiviti pelupusan anjing-anjing terbiar.

“Manakala, APM pula bertanggungjawab memastikan aspek keselamatan dan komunikasi kami,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat bersama agensi-agensi kerajaan negeri di Ibu Pejabat APM, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Meru Raya di sini, hari ini.

Dr Fuziah turut menasihatkan penduduk setempat yang ingin mengambil anjing peliharaan supaya memohon lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing.

Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Perak mengesahkan lima sampel kepala anjing yang dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar Ipoh pada Selasa disahkan bebas daripada penyakit anjing gila atau wabak rabies.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Rabies Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, keputusan ujian makmal diperoleh membabitkan sampel 19 anjing terbiar yang dilupuskan pada Selasa.