IPOH:Janji untuk membawa kumpulan rock terkenal, Radiohead untuk mengadakan persembahan di Malaysia akan dikotakan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
Beliau sebelum ini berjanji untuk membawa Radiohead ke
Malaysia sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Bagaimanapun ujarnya janji tersebut akan dilaksanakan selepas
bulan Ramadan bagi menghormati bulan tersebut di samping memberi fokus
kepada perkara lain yang lebih memerlukan perhatian.
“Jika mereka bersetuju dengan cadangan saya untuk mengadakan konsert
atas nama konsert amal, saya akan bawakan. Jadi doakan dahulu.

“Media janganlah lapor lagi dengan terperinci, nanti kalau surat tak
keluar, Radiohead tolak, siapa yang perlu dipersalahkan? Media
Malaysia juga…,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi panel jemputan di Persidangan Dunia Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) 2018
Kali Ke-5 2018 di Casuarina@Meru di sini hari ini.
Nurul Izzah berkata, kehadiran Radiohead itu adalah menerusi penganjuran konsert amal yang bakal diadakan.