IPOH – DAP Perak mengakui janji manifesto memerlukan tempoh munasabah untuk memastikan kesemuanya ditunaikan.

Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, Harapan di Perak mahupun di peringkat pusat komited untuk menunaikan janji manifesto yang diumumkan ketika PRU14 lalu.

Katanya, malah melangkah ke 100 hari pemerintahan Pakatan Harapan, beberapa janji sudahpun ditunaikan.

“Sebagai contoh di peringkat pusat kita sudah memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Skim KWSP untuk suri rumah dan sebagainya. Reformasi di Parlimen juga sedang dilaksanakan.

“Institusi pembangkang juga sudahpun diiktiraf malah di Dun Perak, Ketua Pembangkang diberikan beberapa kemudahan,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.

Beliau berkata, setiap perubahan memerlukan masa dan sebaiknya adalah dalam tempoh satu penggal.

Katanya, ada beberapa perkara yang mungkin sepatutnya boleh dilaksana 100 hari tetapi terdapat kekangan tertentu untuk melaksanakannya.

Kor Ming berkata, apa yang penting rakyat perlu bersama kerajaan bersatu bagi membina semula negara – sinar