Oleh: Nazialita Geynna Maharan

SERI MANJUNG: Tindakan Pakatan Harapan menaburkan janji-janji manis jika menang Pilihan Raya Umum ke-14 jelas menunjukkan kepincangan ideologi mereka yang berfokuskan kepada kepentingan untuk menjatuhkan seseorang individu semata-mata.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kesemua janji yang digariskan itu tidak mempunyai matlamat asas yang konkrit malah bertujuan untuk menjatuhkan kredibiliti seseorang dan bukannya untuk kepentingan rakyat.

Beliau turut menyelar kenyataan pihak pembangkang yang mengatakan bahawa Barisan Nasional mulai menunjukkan kerisauan terhadap langkah strategik yang dirancang oleh Pakatan Harapan menjelang PRU akan datang.

“Rakyat boleh melihat sendiri bagaimana mereka hendak membuat sebuah pakatan; dengan susunan dan struktur organisasi mereka yang terdiri daripada mantan-mantan tokoh di Malaysia.

“Ada tiga struktur teratas dan tiga struktur timbalan, yang terdiri daripada pengerusi, presiden dan ketua umum, (jika begini) bagaimana mereka hendak membentuk (satu) pakatan ini?

“Bagaimanakah mereka mendefinisikan kuasa siapa lebih besar; siapa (yang menjadi) kuasa pemutus kerana walaupun mereka mengatakan ianya berdasarkan konsensus namun perebutan kuasa pasti akan berlaku,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Rumah Terbuka Parlimen Lumut di Dewan EMV di sini, hari ini.

Menteri Besar menjelaskan, rakyat bijak menilai matlamat penubuhan serta falsafah politik Pakatan Harapan bukanlah berasaskan konteks kepentingan sebuah negara, sebaliknya hanya menumpukan kepada pembebasan individu tertentu serta menjatuhkan seseorang di Malaysia.

ADUN Pangkor itu menegaskan, Barisan Nasional tidak gentar dengan sikap pakatan pembangkang yang memberikan pelbagai janji tidak masuk akal hanya untuk mendapatkan sokongan rakyat bagi memenangi PRU 14 kelak.

Katanya, semua jenis kenyataan cacamarba dan auta daripada Pakatan Harapan tersebut hanya sebagai pelan taktikal mereka dalam memperdayakan rakyat.

“BN tidak akan gentar. Kita telah melalui sepak terajang dan naik turun politik. Tindakan mereka ini bukan baharu, kononnya nak buat itu dan ini. Rakyat janganlah terpengaruh, jangan leka dan jangan terpedaya.

“Katakan mereka memenangi PRU-14 kelak; selepas itu mereka akan kata GST telah dilaksanakan oleh BN sekian lama dan sebarang pemansuhan akan mengganggu struktur kewangan negara, (itu semua akan jadi) alasan.

“Mereka kata kalau, ‘kalau’ mereka menang…maksudnya mereka berjanji dahulu kepada rakyat untuk memenangi PRU, sekiranya janji mereka tidak ditepati selepas itu, maka pastinya banyak alasan yang akan muncul,” katanya lagi.

Sebelum ini, Pakatan Harapan mengumumkan barisan kepimpinannya, dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Pengerusi manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masing-masing dilantik sebagai Ketua Umum dan Presiden.

Mereka juga berjanji untuk menyelesaikan tujuh isu utama termasuk pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST), selepas 100 hari memenangi PRU-14 selain menstabilkan harga minyak