PENIAGA daging segar di Pasar Besar Jerantut di sini, memberi jaminan akan mengekalkan harga jualan kepada pengguna di daerah itu sebagai persiapan menyambut Aidilfitri minggu hadapan.

Pada masa ini, harga daging segar lembu dan kerbau tempatan di pasar ialah RM28 sekilogram dan mereka akan menjualnya pada harga sama, walaupun mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.

Peniaga daging, Mohd Shamsul Bahari Mohd Zakri, 26, berkata, beliau dan beberapa rakan peniaga lain di pasar itu bersepakat mengekalkan harga jualan daging segar bagi sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Kami di sini memang nak bagi harga lebih murah buat pelanggan sebagai tanda penghargaan kepada mereka.

“Malah pelanggan bukan dari Jerantut sahaja, ada pelanggan dari daerah berhampiran Kuala Lipis, Temerloh, Jengka yang datang membeli daging di sini,” katanya ketika ditemui NSTP, di sini, hari ini.

Mohd Shamsul yang mengusahakan perniagaan milik keluarganya itu sudah berniaga menjual daging lembu dan kerbau segar sejak 11 tahun lalu.

Seorang lagi peniaga daging, Nik Sop Hassan, 43, berkata, komitmen mereka itu juga adalah tanggungjawab sosial mereka kepada pelanggan masing-masing.

“Kami mendapatkan bekalan daging segar daripada penternak lembu tempatan dan kami menjanjikan bekalan daging segar di pasar ini mencukupi buat keperluan sempena Aidilfitri ini,” katanya yang berniaga di situ sejak 12 tahun lalu.

Penternak lembu di Kampung Paya Rajin, Mohd Nizam Ismail, 27, antara pembekal daging lembu di daerah ini.

Selain membekalkan keperluan di daerah ini, daging segar daripada ladang ternakan Mohd Nizam itu turut mendapat permintaan daripada peniaga di Kelantan, Terengganu dan Selangor.

Setakat ini, Mohd Nizam yang memiliki lebih 700 lembu di ladang ternakannya seluas kira-kira 0.8 hektar berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini, bekalan daging mencukupi setiap kali sambutan Aidilfitri di daerah itu – berita harian