Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan dana tambahan sebanyak tiga juta kepada institusi Sri Murugan Centre (SMC) untuk menggalakkan kecemerlangan akademik komuniti pelajar India di seluruh negara.

Katanya, dana tambahan tersebut akan disalurkan kepada pusat pendidikan berkenaan sekiranya SMC berjaya membuktikan program kecemerlangan akademik mereka berjaya mencapai sasaran.

“(Saya akan tambah), jika institusi itu berjaya membuktikan kecemerlangan mereka dalam setiap peperiksaan awam.

“Saya amat berbangga dengan peranan SMC, saya benar-benar tersentuh, belanjakanlah tiga juta ( sebelum ini) baik-baik, kalau semuanya dapat keputusan baik-baik, saya akan tambah tiga juta lagi, ini janji saya kepada SMC,”katanya ketika berucap.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Vetri 2018 yang dihadiri 160 murid Tahun Enam SJK (T) sekitar Parlimen Bagan Datuk, di Dewan Sanmarka Orang India,dekat sini pada petang 

Sebelum ini, kerajaan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM3 juta pada Mei lepas khusus untuk memberikan motivasi kepada program kecemerlangan akademik pelajar komuniti India di seluruh negara.

Beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata beliau amat mengagumi nilai-nilai murni yang diterapkan oleh kesemua tenaga pendidik dan kakitangan di pusat pendidikan SMC tersebut.

“Saya mahu semua pelajar menghormati guru-guru…kerana apa-apa bangsa,agama dan budaya atau bahasa, sekali guru tetap guru.

“Saya buta warna dalam pendidikan..tidak ada politik dalam pendidikan,”katanya lagi.

SMC ditubuhkan pada tahun 1982 oleh Tan Sri Dr M. Thambirajah bersama 48 pelajar terawal Persatuan Bahasa Tamil dan pensyarah Universiti Malaya untuk persediaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).