BATU GAJAH – Seorang tahanan polis terpaksa menahan sakit lebih 30 minit dan meminta bantuan selepas jari manis tangan kanannya bengkak dan sakit akibat cincin emas yang dipakainya tidak boleh ditanggalkan, semalam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah, Zainal Abidin Wok berkata, anggota bomba bergegas ke Balai Polis Batu Gajah selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.06 pagi.

“Cincin emas yang dipakai seorang lelaki berusia 55 tahun tidak boleh ditanggalkan akibat keadaan jarinya yang bengkak. Usaha mengeluarkannya dengan menggunakan kaedah manual tidak berjaya.

“Anggota bertindak menggunakan pemotong cincin untuk memotong barang kemas itu. Operasi dijalankan selama 30 minit dan kita berjaya mengeluarkan cincin dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

-SinarHarian