GERIK – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun terpaksa menahan sakit lebih 30 minit selepas tangan kanannya tersepit pada mesin pembancuh simen dalam kejadian di Kampung Ulu Kenderong di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Muhammad Haniff Izzuddin Mohammad Zamrul mengalami kecederaan pada jari kelingkingnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizul Aswad Asaris berkata, tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan itu.

Anggota bomba Gerik menjalankan operasi mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit pada mesin pembancuh simen, hari ini.
Anggota bomba Gerik menjalankan operasi mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit pada mesin pembancuh simen, semalam.

“Setibanya di lokasi kejadian, kanak-kanak berkenaan dalam keadaan menangis kesakitan. Sebelah tangan mangsa tersepit hingga ke siku di bahagian belakang pemegang mesin pembancuh simen.

“Anggota bertindak membuka skru dan merenggangkannya dengan menggunakan peralatan menyelamat sebelum mengeluarkan tangan mangsa dengan selamat,” katanya.

Menurutnya, mangsa diserahkan kepada pihak perubatan untuk rawatan selanjutnya di Hospital Gerik.

“Operasi menyelamat mengambil mangsa hampir 30 minit sebelum tamat pada jam 6.22 petang,” katanya – sinar harian