TELUK INTAN: Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Mah Siew Keong menasihatkan semua pihak terutama pembangkang tidak menggunakan pendekatan memanipulasi berita tidak benar untuk kepentingan politik pada Pilihan Raya Umum (PRU)14 kali ini.

Beliau yang bertanding untuk mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan berkata semua pihak termasuk pembangkang seharusnya menfokuskan kepada apa yang mereka boleh sumbang dan lakukan untuk penduduk Teluk Intan dan bukan menyebarkan berita palsu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menafikan dakwaan membawa masuk 15 juta jari plastik dari China bagi membolehkan pemilih mengundi banyak kali.

Siew Keong berkata dakwaan dan fitnah itu hanya merupakan mainan politik pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan menimbulkan keraguan di kalangan masyarakat.

“Itulah masalahnya, terlalu banyak berita-berita palsu, macam-macam yang diuar-uarkan. Dulu, kononnya ada seramai 40,000 pengundi Bangladesh dibawa tetapi sampai hari ini belum ada satu laporan polis, belum tangkap seorang pun.

“Jadi, saya harap PRU ini semua parti mestilah yakinkan pengundi apa mereka boleh buat untuk negara, untuk kawasan bukannya menggunakan taktik-taktik ini yang kita tahu adalah berita palsu,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Bersama Rakyat di Dewan SMK St Anthony di sini,hari ini.

Siew Keong juga menegaskan kesan berita palsu sangat bahaya kerana ia boleh menimbulkan menyentuh sensitiviti kaum dan agama di kalangan masyarakat berbilang negara ini.

Dalam perkembangan lain, Siew Keong juga ingin mengingatkan pihak tertentu agar tidak membuat kekecohan dan onar sempena perayaan Festival Chitra Pournami yang merupakan acara tahunan wajib di Teluk Intan.

Katanya, festival tersebut bakal mengumpulkan lebih daripada puluhan ribu warga India yang datang dari segenap pelusuk negeri untuk meraikannya di Teluk Intan.

“Saya begitu bimbang kerana selepas penamaan calon Sabtu ini..ada acara Chitra Purnami. Untuk lima tahun kebelakangan ini tak ada masalah.

“Tapi saya ada dengar mungkin ada pihak yang akan cuba bermain dengan perayaan ini supaya pihak berkuasa akan menyalahkan pengurusan program untuk isu ini nanti.

“Saya minta sekali lagi, jangan politikkan semua isu. Saya telah berbincang dengan polis supaya acara dapat berlangsung dengan lancar. Selama 50 tahun tak ada masalah. Jangan pula perayaan besar di Teluk Intan nanti ada insiden yang akan memecahkan masyarakat. Jangan ada yang ambil kesempatan,”katanya lagi.