KUALA LUMPUR: Jaring keselamatan jadi jaring perangkap sampah. Itu senario terkini penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai di sini, yang ‘menggunakan’ jaring keselamatan itu sebagai tempat pembuangan sampah.

Tinjauan Harian Metro di lokasi pemasangan jaring keselamatan itu mendapati sampah seperti paket plastik, botol minuman, tisu, puntung dan kotak rokok kelihatan di jaring keselamatan berkenaan.

Keadaan itu sekali gus mencemarkan pemandangan walaupun jaring keselamatan terbabit baru siap dipasang kurang seminggu lalu.

Pengawal keselamatan yang juga penduduk PPR Sri Pantai, Abu Kassim, 53, berkata, sikap segelintir penduduk seperti tidak boleh diubah lagi.

“Setiap pagi, tukang cuci terpaksa memanjat jaring keselamatan itu untuk mengambil sampah yang tersangkut dan membersihkannya.

“Bagaimanapun tidak sampai beberapa jam selepas itu, pasti ada saja sampah baru yang dibuang oleh penduduk tidak bertanggungjawab.

“Saya dan beberapa rakan lagi kerap kali menasihatkan penduduk supaya menjaga kebersihan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Abu berkata, pelbagai usaha untuk mengubah sikap penduduk sudah dilakukan termasuk menasihatkan mereka mengenai isu keselamatan jika membuang sampah yang berat dari tempat tinggi.

Sebelum kejadian 15 Januari lalu yang meragut nyawa seorang remaja, beliau berkata, banyak lagi barangan dicampak dari atas antaranya kayu, pasu bunga dan beberapa sampah berat lain.

“Keadaan itu membahayakan nyawa penduduk lain yang lalu lalang di bawah. Selepas pemasangan jaring keselamatan, lain pula ceritanya apabila jaring itu menjadi tempat pembuangan sampah,” katanya.

Pemasangan jaring keselamatan itu adalah langkah diambil oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengelakkan kejadian sama yang menimpa remaja berkenaan berulang.

BERITA TERDAHULU: Maut Ditimpa Kerusi Dilempar Dari Atas PPR

BERITA TERDAHULU: Penghuni PPR Sri Pantai Masih Campak Sampah Selepas Kejadian Maut

Sementara itu, jurucakap DBKL memaklumkan bahawa pemasangan jaring keselamatan terbabit siap pada minggu lalu, namun masalah lain pula timbul apabila jaring menjadi tempat membuang sampai segelintir penduduk.

Menurutnya, ia berpunca daripada faktor sikap penduduk itu sendiri dan jika semua pihak melaksanakan tanggungjawab masing-masing, pastinya masalah pembuangan sampah di jaring terbabit tidak berlaku.

Katanya, sebagai pihak berwajib, DBKL sudah melaksanakan tugas dengan pemasangan jaring keselamatan dan kini menjadi tanggungjawab penduduk untuk menjaganya.