Perak berjaya meraih 3 mata penuh dalam saingan Liga Super 2017 apabila berjaya menundukkan Pulau Pinang hasil jaringan tunggal pemain gantian, Shahrul Saad dalam kunjungan ke Stadium Batu Kawan malam tadi.

Skuad bimbingan Karl Heinz Weigang yang mendapat sokongan moral lebih 5000 orang penyokong setia Kejor Yob Skor itu memperagakan aksi kurang menyerlah pada babak pertama.

Hanya satu percubaan tepat menerusi Yashir Pinto Islame di minit ke 11 diperoleh pada babak pertama.

Namun rembatan padu pemain import dari Palestin itu berjaya diselamatkan oleh Syed Adney di gawang Pulau Pinang.

Aksi hambar babak pertama berkesudahan terikat tanpa jaringan dan babak kedua bersambung dengan beberapa aksi kekasaran dilakukan oleh kedua-dua pasukan.

Lebih mencuri tumpuan apabila pengendali Pulau Pinang, Ashley Westwood diarahkan meninggalkan bangku simpanan kerana beberapa kali mempertikaikan keputusan pengadil.

Kemasukan Shahrul Saad pada minit ke-75 ternyata membuahkan hasil setelah hantaran silang dari Zaquan Adha Abdul Razak berjaya disudahkan oleh Shahrul bagi memecah kebuntuan pada minit ke-78 seterusnya mengesahkan kemenangan pertama Perak The Bos Gaurus musim ini.

Weigang ketika ditemui memuji anak buahnya yang menunjukkan sedikit peningkatan apabila berjaya mengubah beberapa kelemahan ketika permainan menentang Pahang minggu lalu yang menyifatkan ‘ mereka bermain bolasepak dan bukannya hanya menendang dan mengejar bola. – Arena Seladang