Kuantan: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang mengambil sampel air Sungai Aur di Muadzam Shah, Rompin bagi mengenal pasti punca yang menyebabkan air sungai itu bertukar hijau.

Pengarah JAS Pahang Rosli Zul berkata, sampel juga sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis dan keputusan diketahui dalam tempoh sekurang-kurangnya sebulan lagi.

“Kita difahamkan terdapat aktiviti perlombongan di kawasan hulu sungai berkenaan, namun belum dapat dipastikan sama ada ia punca air sungai bertukar hijau.

“Untuk itu, kita menunggu keputusan analisis sampel air dulu sebelum tindakan berikutnya diambil,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, penduduk Kampung Aur, Muadzam Shah, Ahmad Rizal Abdul Hani, 39, berkata, masalah sungai tercemar sudah berlarutan lebih dua minggu lalu hingga membimbangkan penduduk yang tinggal di sekitar sungai itu.

“Sebelum ini, air sungai hanya keruh dan tidak pernah berwarna seperti ini. Ada juga penduduk kampung mendakwa berlaku kematian ikan dan beberapa hidupan di situ.

“Ada juga penduduk mendakwa masalah berpunca daripada Sungai Jeram yang terletak di hulu tetapi tak pasti apa sebenarnya yang berlaku,” katanya yang berharap isu itu diselesaikan segera – hmetro