IPOH: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak mengeluarkan 188 kompaun kepada 32 daripada 46 premis industri yang diperiksa dalam Op Gempur 2.0 yang dijalankan pada Isnin hingga Rabu.

Setiap kompaun bernilai RM2,000 dan jika gagal menjelaskannya, tindakan undang-undang akan diambil.

Pengarah JAS Perak, Rosli Zul berkata, bilangan kompaun meningkat 86 kes atau 84 peratus berbanding 102 kompaun yang dikeluarkan dalam operasi pertama tahun ini pada 9 hingga 12 Mac lalu.

“Jadi ini sebagai indikator kepada Jabatan Alam Sekitar bahawa pihak industri yang kita periksa mendapati lebih memfokuskan selepas tempoh PKP ini kepada pengeluaran dan tidak menitik beratkan tentang kehendak peraturan-peraturan kualiti alam sekeliling di dalam pengurusan buangan terjadual mahupun kawalan pencemaran.

“Jadi kerana itulah kesannya kita dapati banyak kesalahan itu dilakukan dan ini menjadikan Jabatan Alam Sekitar akan bertindak lebih agresif lagi kepada kilang-kilang pada masa yang akan datang untuk memastikan mereka ni patuh kepada kehendak peraturan-peraturan yang ditetapkan,” tegasnya.

Beliau ditemui selepas menutup Ops Gempur 2.0 di Pejabat Jabatan Alam Sekitar Perak di Ipoh pada Rabu.

Menurutnya, dalan operasi tiga hari itu penguatkuasa JAS turut mengeluarkan 47 arahan di lapangan (field citation), 51 notis arahan, satu gantung lesen dan dua kertas siasatan.

Katanya, antara kesalahan utama yang dilakukan ialah pelanggaran di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

Seramai 27 pegawai JAS termasuk dari Cawangan Taiping dan Teluk Intan mengambil bahagian dalam operasi itu yang dibahagikan kepada 10 pasukan.