IPOH – Menyaksikan sendiri operasi menyelamat mangsa kemalangan di Kuantan, Pahang menjadi titik permulaan Wan Zaidi Wan Mokhtar tekad menyertai pasukan menyelamat sebagai ahli bomba.

Disiplin dan kecekapan anggota bomba menyelamatkan mangsa menyebabkan dia membuat keputusan meninggalkan kerjanya pekerja am di Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dengan menyertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 1992.

Menurutnya, tekad itu menjadi inspirasi kepadanya hingga dinobatkan sebagai pelatih terbaik keseluruhan di pusat latihan sementara Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Kelantan.

Beliau juga jurulatih yang mengendalikan Kursus Penyelamatan dan Pengendalian Bot.
“Kemudian saya ditempatkan di BBP Jalan Bukit Ubi, Kuantan. Banyak pengalaman ditimba melibatkan pelbagai operasi kebakaran dan kemalangan sepanjang enam tahun sebagai ahli bomba.

“Pengalaman selama dua hari menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa nahas bas terhumban ke dalam gaung kira-kira 100 meter di Genting Highlands antara yang tidak dapat dilupakan.

“Kejadian pada 15 Julai 1996 itu telah mengorbankan 17 penumpang termasuk enam kanak-kanak. Operasi dimulakan dengan mencari mangsa yang terselamat akibat tercampak dari kenderaan itu sehingga selesai,” katanya.

Wan Zaidi berkata, pengalaman yang diperolehnya setiap hari dalam setiap tugasan ternyata memberi cabaran berbeza dan kepuasan dalam melaksanakan tugas.

 

Wan Zaidi menjadikan mendaki gunung cara mengekalkan stamina.
Smart latih diri lebih cekal
Wan Zaidi berkata, cabaran dalam kerjayanya diteruskan dengan menyertai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) selama enam tahun bermula 1999.

“Cabaran dimulakan dengan penglibatan operasi menyelamat mangsa dalam runtuhan tanah di Gombak dan runtuhan bangunan melibatkan dua pekerja warga asing di Damansara.

“Penglibatan dalam Smart turut membawa misi bantuan dan kemanusiaan di luar negara. Menyayat hati itulah yang terdetik apabila saya bersama 19 ahli pasukan lain tiba di Acheh sehari selepas tsunami berlaku pada Disember 2004.

Wan Zaidi (kanan) memerhatikan pelatih yang terlibat dalam Ujian Pemilihan Pasukan Khas Storm baru-baru ini.
“Kami tiba di sebuah perkampungan berhampiran dengan pantai dan umpama padang jarak padang terkukur, tiada sebuah rumah pun yang berdiri dan hanya mayat sahaja bergelimpangan sana sini,” katanya.

Katanya, pasukannya gagal untuk mencari mangsa yang terselamat dan operasi bertukar kepada misi kemanusiaan yang dijalankan selama dua minggu.

“Perasaan bila berada di kawasan itu bercampur namun, tugas mesti dilaksanakan dengan mencari mayat di sebalik kemusnahan rumah dan bangunan.

“Malaysia antara pasukan terawal yang tiba menghantar bantuan sebelum pasukan negara lain seperti Singapura, Taiwan dan Jepun,” katanya.

Sentiasa kekalkan stamina
Wan Zaidi kata, aktiviti lasak dijadikan senaman terbaik untuk menjaga stamina kerana beliau kini menjadi jurulatih di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Utara kini.

“Dalam bomba kita mempunyai kelab yang aktif untuk menyertai aktiviti mendaki gunung antaranya Gunung Kinabalu, Gunung Tahan, Gunung Chamah dan Gunung Yong Yap.

“Terkini anggota bomba melakar sejarah apabila mengibarkan Jalur Gemilang gergasi di puncak Gunung Semeru di Surabaya, Indonesia tahun lalu. Malah Gunung Fansipan, Vietnam berjaya didaki pada 2016,” katanya.

Beliau turut menyertai aktiviti berbasikal merentasi dua negara di sempadan Pengkalan Hulu, Perak – Betong, Thailand, Mac lalu.
Menurutnya, beliau turut menyertai Kelab Bomba Bikers yang menjelajah seluruh semenanjung sebagai salah satu platform untuk mengeratkan ukhuwah.

Katanya, jangan mudah berputus asa adalah kata-kata semangat disemat ketika berhadapan dengan cabaran.

“Cabaran ada di mana-mana malah, bomba mendapat kritikan daripada netizen di zaman siber ini. Bomba sentiasa bergerak menjalankan amanah kepada masyarakat.

“Pengalaman sepanjang berkhidmat dalam pasukan terus dicurahkan kepada rekrut baharu untuk mereka yang lebih bersedia dengan tugasan yang sedia menanti,” katanya – sinar

Profil
Nama: Wan Zaidi Wan Mokhtar

Umur: 46

Asal: Kuantan, Pahang

Jawatan: Pegawai Kanan Bomba II