IPOH – Umat Islam di negeri ini khususnya ahli politik diingatkan supaya tidak berpolitik secara melampau sehingga mewujudkan pecah belah serta permusuhan sesama sendiri.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebaliknya sebagai seorang umat Islam, setiap individu perlu menunjukkan perwatakan serta amalan yang baik kepada khayalak dan tidak membuka aib di antara satu sama lain.

“Kita sering bercakap betapa hebatnya agama Islam, bagaimana sempurnanya agama kita namun bila tiba bab amalan yang perlu dipraktikkan…habis.cf61e79b-129b-4a0f-937b-38979ebcc5e7

“Jangan kita naik pentas di khayalak ramai guna perkataan-perkataan tidak elok, fitnah orang itu fitnah orang ini..malu kalau orang lain tengok kita bersikap begini sesama kita,” katanya.

Beliau berucap demikian dalam karnival marhabah sempena Pemukiman Menteri Besar Daerah Kinta di pekarangan masjid An-Nur, Batu 8, di sini pada Jumaat.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria, ADUN Hulu Kinta Datuk Aminuddin Md Hanafiah dan ADUN Manjoi Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin.

Tambah Dr Zambry, sikap “hentam-menghentam” di antara satu sama lain secara terbuka hanya akan merugikan kedua-dua belah pihak malah memburukkan lagi imej Islam.

“Kita perlu bawa mesej Islam yang sebenar iaitu berkasih sayang, jangan bergaduh sesama kita..Melayu ini lembut sifatnya, guna kesempatan itu untuk kita semua bersama.

“Selama 9 tahun menjadi Menteri Besar inilah yang saya sering memberi penekanan, jangan politik berlebihan..Alhamdulillah ketika ini semuanya semakin rapat, saya harap ia akan berterusan dan lebih rapat,” ujarnya.

Sementara itu, dalam majlis sama Menteri Besar mengumumkan program hamam yang diwujudkan bagi memastikan tandas surau dan masjid seluruh Perak sentiasa dalam keadaan bersih telah membuahkan hasil.

Jelas beliau, sejak ia diperkenalkan dan dipantau oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), ia telah menunjukkan perubahan yang amat positif.

“Berkat daripada apa yang kita laksanakan selama ini, tinjauan demi tinjauan daripada langsung tidak mempunyai bintang kini Ianya telah menerima penarafan bintang.

“Ketika ini sebanyak 498 masjid seluruh Perak telah menerima penarafan tiga bintang dan ke atas dengan 38 daripadanya adalah lima bintang,” jelas beliau.