GOPENG – Kerajaan Pakatan Harapan Perak tidak memerlukan penambahan jawatan lain dalam urusan pentadbiran dan hariannya termasuklah lantikan penasihat menteri besar yang baharu.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, buat masa ini, tiada keperluan untuk penambahan jawatan terbabit memandangkan jawatan sedia ada seperti yang telah ditetapkan sebelum ini, sudah mencukupi.

“Menteri besar cuma mendapatkan nasihat daripada orang tertentu yang ada kemahiran dalam bidang-bidang khusus sahaja, saya kira jawatan sedia ada sudah mencukupi dan mempunyai kewibawaan untuk membantu dalam hal itu.

“Jika ada keperluan pun, kita perlu kaji dari semua aspek akan bidang tugas yang difokuskan dan lihat perkembangan semasa,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Highly Immersive Programme (HIP) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rapat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penangguhan pelantikan Ketua Srikandi PKR Pusat, Siti Aishah Shaik Ismail sebagai penasihat menteri besar bertaraf Exco.

Penangguhan itu dibuat sementara menunggu perbincangan lanjut Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Perak tidak menolak kemungkinan terdapat kalangan ahli yang tidak bersetuju dengan lantikan terbabit.

Katanya, setiap pendapat sama ada yang menolak mahupun menyokong lantikan itu akan dibincangkan secara lebih terperinci sebelum satu keputusan yang dipersetujui semua, dicapai.

“Jika ada pro dan kontra dalam perbincangan nanti, maka ia perlu diselami sebaiknya supaya ada ruang untuk perbincangan dilakukan,” katanya.

Pada Mei lalu, 10 Adun Pakatan Harapan terdiri lima wakil rakyat DAP, Amanah (3) dan PKR (2) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak – sinar