KANGAR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, satu jawatankuasa baharu perlu dibentuk bagi menyelaras Sekolah-sekolah Agama Rakyat, Maahad Tahfiz dan pondok agama kerana kerajaan pusat tidak berhasrat mencampuri hal ehwal sekolah berkenaan yang berada di bawah bidang kuasa agama negeri-negeri.

Beliau berkata walaupun satu dasar mengenai sekolah agama dan pondok boleh diwujudkan tetapi kuasa untuk mengambil tindakan masih tertakluk kepada negeri masing-masing.

“Satu piawaian keselamatan perlu ada, sama ada pusat-pusat pengajian tersebut berdaftar atau tidak, agar kejadian yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah tidak berulang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Arau di Dewan 2020 di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa kementerian itu sedia bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri berhubung hal ehwal sekolah tahfiz.

Ahmad Zahid berkata, beliau telah berbincang dengan pengerusi pusat tahfiz berkenaan dan meminta mereka supaya mengetepikan perbezaan demi kepentingan pelajar dan nyawa mereka.
Jekas beliau, satu mesyuarat Jawatankuasa Bertindak bersama Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak mengenai cadangan hasil siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) Pondok Pak Ya akan diadakan Selasa ini.

“Kita harus belajar walau apapun keadaan, bermula daripada kebakaran di Pondok Pak Ya. RCI ini harus siasat dengan terperinci serta membuat syor dan piawaian mestilah dipatuhi kerana pencegahan lebih baik daripada mengubati,” katanya. – BERNAMA