IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) menegaskan bahawa pihak jawatankuasa masjid tidak mempunyai kuasa melantik atau memecat imam.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pihak jawatankuasa masjid hanya boleh memberikan cadangan untuk memilih atau menggugurkan imam masjid mereka kepada Jaipk.

Beliau berkata, kuasa melantik atau menggugurkan seseorang imam masjid ditentukan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk).

“Prosedur dalam melantik imam, pihak jawatankuasa masjid akan memberikan senarai calon kepada kita dan kemudian calon-calon tersebut akan ditemuduga sebelum dilantik.

“Begitu juga untuk menggugurkan imam, kita tidak boleh sewenang-wenangnya memecat imam sebaliknya kita akan teliti aduan yang dikemukakan dan kemudian baru kita buat keputusan sama ada untuk mengekalkan imam tersebut atau tidak,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Mohd Yusop berkata, soal lantikan dan pemecatan imam itu merupakan perkara biasa kerana disebabkan beberapa faktor terutamanya berkaitan masalah kesihatan.

Katanya, berdasarkan peraturan yang ditetapkan, seseorang imam yang ingin dilantik perlukan berusia tidak lebih 60 tahun tetapi pihak Maipk boleh meneruskan khidmat imam masjid tersebut walaupun melebihi umur jika mereka masih mampu meneruskan tugas.

“Apa yang penting, pihak jawatankuasa masjid tidak boleh sewenang-wenangnya memecat atau melantik imam tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan. Ini memang salah.

“Imam masjid yang ingin dilantik perlu melalui proses temuduga oleh jawatankuasa yang diketuai oleh Mufti Perak sendiri,” katanya – sinar harian