IPOH: Kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Digital Ekonomi Negeri Perak tahun ini bagi menyediakan platform YEOP DOT COM untuk membantu usahawan mempromosikan produk.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, jawatankuasa itu dianggotai oleh KPerak, MAGIC, MDEC, SME Corp, UPEN, PKNP, CyberSecurity Malaysia, dan SKMM.

Menurut beliau, UPEN, PKNP dan KPerak akan menjadi penyelaras bersama bagi memastikan program Digital Ekonomi Negeri Perak berjaya dilaksanakan.

“Perniagaan digital merupakan satu bidang terkini yang dapat membantu melonjakkan usahawan-usahawan kita hingga ke peringkat global.

“Justeru, kerajaan negeri telah mengambil langkah-langkah proaktif ke arah melengkapkan usahawan baru dan sedia ada dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan,” katanya ketika menggulung perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Samsudin berkata, usahawan Perak menyambut baik peluang latihan berkaitan ekonomi digital dalam meningkatkan jualan menerusi pemasaran digital.

Menurutnya, ini terbukti menerusi pendaftaran hampir 11,000 usahawan mikro seluruh negeri dalam program eUsahawan anjuran MDEC sepanjang tahun 2016-2017.

Beliau menambah, daripada jumlah itu, hampir 4,500 usahawan telah dilatih dan lebih 600 usahawan sudah mula menjana pendapatan tambahan menerusi kaedah pemasaran digital yang dijangka akan meningkat dari semasa ke semasa.

“Kesedaran akan pentingnya ilmu dalam pemasaran digital ini menunjukkan kesediaan dan keinginan usahawan dalam menembusi pasaran ekonomi digital,” ujarnya.

Di samping itu, katanya, inisiatif baru kerajaan dalam meningkatkan kemampuan berdaya saing usahawan PKS ke peringkat eksport dan global menerusi program DFTZ (Digital Free Trade Zone) merupakan satu peluang baik yang perlu diterokai usahawan Perak.

Ujarnya, ini kerana Perak kaya dengan pelbagai produk hasil industri tempatan seperti produk asas tani yang berpotensi besar untuk dipasarkan di peringkat global.

Beliau memberitahu, sehingga kini sebanyak 117 PKS Perak telah berdaftar dalam program DFTZ.