PETALING JAYA: Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan mengisytiharkan kumpulan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong sudah “menang” dalam kontroversi pengajaran tulisan Jawi di sekolah aliran, susulan keputusan muktamad kerajaan baru-baru ini.

Mohamad berkata menyerahkan pelaksanaan komponen bahasa Melayu itu kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) keputusan paling tidak munasabah, tiada rasional, dan tidak selari dengan semangat Perlembagaan.

“Ia adalah jalan mati untuk Jawi dalam sistem sekolah tersebut. Melihat sikap cuvanis pendokong sekolah vernakular dalam isu ini, tiada PIBG yang akan memberikan persetujuan untuk ia dilaksanakan” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Putrajaya mengumumkan seni tulisan akan diperkenalkan di sekolah dengan nama “pengenalan tulisan Jawi”.

Tidak seperti khat, “tulisan Jawi” disebut dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, sebagai salah satu tulisan bagi bahasa kebangsaan.

“Di mana rasionalnya kurikulum Kementerian Pendidikan memerlukan persetujuan PIBG untuk dilaksanakan. Apa peranan PIBG dalam memenuhi objektif pembelajaran dan pengajaran?” katanya.

Mohamad yakin isu tulisan Jawi “sandiwara” untuk memesongkan perhatian rakyat daripada isu-isu negara, mengatakan PPBM dan DAP ingin dilihat sebagai juara dan pejuang kaum-kaum tertentu.

“Kedua-dua gagal dalam pementasan mereka kali ini. Akhirnya yang menang ialah Dong Jiao Zong, pertubuhan yang digelar rasis oleh perdana menteri.

“Desakan Dong Jiao Zong menyebabkan tersungkurnya semua anggota Jemaah Menteri dalam mempertahankan wibawa sistem pendidikan nasional,” katanya.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata tidak pernah terjadi dalam sejarah negara ini pendidikan dipolitikkan sebegini rupa.

“Pakatan Harapan tunduk kepada desakan Melayuphobia dan Islamophobia,” katanya.

Kepada Menteri Pendidikan Maszlee Malik, Mohamad berkata dia gagal melaksanakan tanggungjawab perlembagaan untuk memperjuangkan, mempertahankan dan memperkukuhkan kedudukan bahasa Melayu.

“Saudara tahu apa yang wajar dilakukan dan demi tanahair ini, saya mendesak saudara berundur dengan hormatnya,” katanya.

Jemaah menteri pada Rabu mengumumkan “pengenalan tulisan Jawi” diteruskan di sekolah jenis kebangsaan, tetapi dilaksanakan hanya jika dipersetujui PIBG, serta ibu bapa dan murid.

Komponen bahasa Melayu itu dimuatkan sebanyak 3 muka surat dalam buku teks, dan tidak akan dinilai dalam apa-apa ujian atau peperiksaan.

Keputusan ini dibuat disebalik bantahan berterusan kumpulan-kumpulan pendidikan bukan Melayu dan majlis agama bukan Islam.