BANGKOK: Kisah pembunuhan pensyarah warga Palestin Dr Mohamed Fadi Al Batsh di Kuala Lumpur pada April lepas seakan-akan tenggelam susulan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menyaksikan keputusan mengejut.

Sebenarnya, pembunuhan berprofil tinggi itu tidak pernah dipandang ringan oleh pihak berkuasa dan malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memikul tugas berat untuk menyelesaikannya serta mengheret dua lelaki yang kelihatan seperti warga ‘Asia Barat’ itu ke muka pengadilan kerana disyaki membunuh dengan kejam ahli akademik yang warak dan disenangi ramai itu.

Tugas mencabar untuk menjejaki suspek menjadi lebih rumit kerana pembunuhan itu mungkin dilakukan orang yang amat terlatih serta menggunakan taktik dikenali sebagai ‘Escape and Evasion’ (melarikan diri dan mengelak)(E&E).

Kebolehan E&E akan memastikan pelakunya mendahului si pemburu beberapa langkah di hadapan dan inilah kesulitan yang dialami PDRM dalam menjejaki dua suspek yang licik itu.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata kedua-dua suspek terus melarikan diri ke Thailand selepas membunuh warga Palestin itu, yang dikatakan mempunyai hubungan dengan pergerakan Hamas, agar jejak mereka sukar dikesan.

Sumber keselamatan yang boleh dipercayai memberitahu Bernama bahawa usaha mengesan dua lelaki itu menjadi lebih rumit selepas mereka menyeberang masuk ke Thailand, yang mempunyai 66 juta penduduk dan banyak pintu keluar, termasuk yang sah dan haram.

“Dalam kes ini (pembunuhan Dr Fadi Al Batsh), jejak suspek semakin lenyap setelah mereka melarikan diri ke Thailand. Apabila sudah berada di Thailand, mereka bebas bergerak ke mana saja dan apa yang dibimbangkan ialah mereka sudah meninggalkan Thailand untuk ke negara lain,” katanya.

Polis Malaysia mungkin memerlukan bantuan negara lain, di samping Thailand, serta mengambil masa berbulan-bulan malah, bertahun-tahun sebelum berupaya mencatat sebarang kejayaan dalam siasatan mereka.

Menurut sumber, suspek mungkin menggunakan beberapa pasport palsu untuk menyelinap keluar dari Thailand dan ini tentunya merumitkan lagi kerja polis Malaysia.

Berdasarkan siasatan Bukit Aman, kedua-dua suspek menggunakan pasport palsu Serbia and Montenegro untuk masuk ke Malaysia, kemungkinan pada Februari tahun ini.

Mohamed Fuzi berkata, selain pasport palsu negara Balkan itu, suspek juga memiliki dokumen perjalanan palsu beberapa negara.

Dalam pembunuhan seorang pakar drone dan anggota pergerakan Hamas dikenali sebagai Mohammed Zawahri di Sfax, Tunisia pada Disember 2016, dua ejen Mossad yang dituduh melakukan tugas kotor itu dilapor menggunakan pasport sebuah lagi negara Balkan, Bosnia and Herzegovina.

Sumber itu juga berkata usaha mendapatkan kerjasama Polis Diraja Thailand dan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi menjejaki dua lelaki itu sedang diteruskan susulan kunjungan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohmad ke Bangkok pada 3 April.

Perjumpaan antara Huzir dan Ketua Polis Thailand Jen Chaktip Chaijinda juga diatur untuk terus membincangkan tentang kerjasama itu.

Seorang pegawai polis Thailand yang dihubungi Bernama berkata, Chakthip tidak dapat bertemu Huzir ketika itu kerana beliau berada di luar Bangkok.

Sementara itu, satu sumber yang enggan dikenali berkata para penyiasat juga mengkaji kemungkinan pembunuhan pensyarah Palestin itu berpunca daripada konflik yang wujud antara Hamas dan Fatah, tetapi perkara itu belum dapat disahkan.

Menurut sumber itu, konflik daripada persaingan sengit antara Hamas dan Fatah adalah satu lagi dimensi yang sedang dikaji di samping tanggapan banyak pihak termasuk anggota keluarga mangsa di Semenanjung Gaza iaitu pembunuhan Dr Fadi dilakukan ejen perisikan Israel.

Kerajaan Israel mendakwa Dr Fadi adalah pakar dalam teknologi drone tetapi ia dinafikan rakan rapat mangsa. — BERNAMA