PANGKOR: Nasib bahasa Melayu sehingga kini masih giat diperdebatkan, khususnya di benua yang menjadikan bahasa itu sebagai pengantara dalam kehidupan seharian seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.
Menerusi pandangan dan luahan salah seorang peserta PULARA dan pengasas kepada buku Jejak Temasek, Haris Hamzah, isu pengunaan bahasa Melayu yang kian terhakis bukan sahaja diberi penekanan di Malaysia, bahkan turut menjadi kebimbangan utama di Singapura.

Menurut beliau, dari segi konsep pengunaan bahasa Melayu, ia berbeza-beza mengikut negara masing-masing tetapi beliau mengakui, di Singapura ia sudah agak terkebelakang.

“Sekarang sudah banyak unsur yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua walaupun dikatakan bahasa Melayu itu bahasa nasional di sana, tetapi tiada keutamaan di situ,” katanya kepada Suara Perak.

Bahasa Rojak Terus Menular

Jelasnya, melalui buku Jejak Temasek yang dilancarkan baru-baru ini dengan kerjasama Pak Malim Ghazali PK, ia membawa mesej dari negara serumpun yang mahu bahasa Melayu dimartabatkan semula tanpa ada unsur dianaktirikan.

“Kalau kita mahu bandingkan di Malaysia dan Singapura, ada banyak jurang perbezaan dari segi pengunaan bahasa. Seperti semua sedia maklum sistem pendidikan di Singapura berpandukan kepada bahasa Inggeris.

“Masalahnya, bahasa di sana sudah berkecamuk, jarang sekali bahasa Melayu digunapakai, sedangkan akhbar-akhbar dan media pun guna bahasa Inggeris, bagaimana kita mahu terapkan semula bahasa Melayu,” ujarnya.

Jejak Temasek Kumpul Penyair, Martabat Bahasa Melayu

Buku Jejak Temasek mengumpulkan karya hampir 103 penyair dengan 555 puisi yang mengetengahkan tema bebas bagi para pengkarya menyampaikan pendapat dan mesej.

“Sengaja saya menggunakan “Temasek” berbanding Singapura kerana itulah asal usul negara kita dan pernah jadi sebahagian daripada Tanah Melayu. Setelah sekian lama ia dijajah dengan pelbagai sejarah dan kini makin lama makin mengecil bangsa Melayunya.

“Tidak ada lakaran khusus untuk pembelajaran puisi di sana berbanding di Malaysia, dan ini sangat mendukacitakan. Pembelajaran di sekolah biasa ada, namun untuk mengembangkannya buat masa ini, masih di peringkat paling bawah,” katanya.

Harapan Haris kini tertumpu kepada perjuangan membawa generasi muda mendekati karya seni secara serius.

Pengalaman yang ditimba di sepanjang perjalanan ke beberapa buah negara akan dikongsi bersama untuk mengukuhkan institusi bahasa Melayu.

“Kalau diundang lagi ke PULARA di tahun-tahun seterusnya, saya ingin bawa satu badan atau institusi dari Singapura supaya mereka merasai sendiri suasana hidup dan budaya sastera di Malaysia.

“Kalau kita tidak bertindak dari sekarang bila lagi? Isu bahasa Melayu bukan perkara kecil…ia melibatkan perjuangan bangsa kita sebagai bangsa Melayu.

“Kita mahu generasi akan datang supaya bangga dengan bahasa Melayu, bangga dengan budaya dan seni yang sudah dipelihara sekian lama,” ujarnya.