IPOH – Jejantas di Jalan Raja Ashman Shah berhampiran Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini dilanggar sekali lagi oleh lori kontraktor sama sebelum ini.

Kejadian yang berlaku pada 12 April lalu mengakibatkan kerosakan pada rasuk utama jejantas tersebut apabila lori membawa jentera pengorek yang dipercayai digunakan oleh pihak kontraktor projek pembetungan itu sedang dalam perjalanan menghantar jentera pengoreknya ke tempat kerja.

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam kenyataan medianya berkata, pemeriksaan dan penyiasatan awal di tapak kemalangan telah dijalankan mendapati tiada kerosakan harta benda awam dan tiada kemalangan jiwa kecuali kerosakan pada jejantas tersebut.

“Pihak MBI difahamkan oleh pihak kontraktor yang berkenaan bahawa punca kemalangan berkemungkinan besar disebabkan kecuaian pemandu lori yang tidak mematuhi prosedur operasi standard membabitkan pengangkutan berat dan saiz besar.

“Bagaimanapun siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Dalam pada itu, pembentangan pihak kontraktor kepada MBI telah diadakan pada 12 April bagi mengemukakan laporan awal.

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja penurunan rasuk utama yang telah rosak akibat pelanggaran tersebut telah dilaksanakan pada malam kejadian bagi tujuan keselamatan orang awam.

“MBI juga telah mengambil tindakan dengan mengeluarkan kompaun kepada pihak kontraktor yang berkenaan serta meminta pihak tersebut untuk menyediakan laporan kejuruteraan dan membaik pulih jejantas pejalan kaki tersebut dengan menanggung segala kos pembaikan.

“MBI menjangkakan kerja-kerja membaik pulih berkenaan akan mengambil masa selama 6 minggu dari sekarang,” katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan tersebut, dalam tempoh kerja-kerja baik pulih dilakukan, penutupan sementara jalan terpaksa dibuat pada waktu malam dari jam 10 malam hingga 6 pagi secara berkala dari semasa ke semasa bagi kedua-dua arah.

Pada Disember tahun lalu, bahagian rasuk utama jejantas itu mengalami keretakan selepas dilanggar sebuah lori milik syarikat kontraktor pembentungan – Sinar harian