SEORANG buruh warga Myanmar dijatuhi hukuman penjara 10 tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini, terhadap pertuduhan membunuh tanpa niat rakan senegara di sebuah rumah kongsi kebun sayur di Gua Musang, Januari tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache menjatuhkan hukuman itu selepas Si Tha Lwin, 23, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian seorang warga Myanmar, Win Ko Ko, 22, dengan mendatangkan kecederaan tubuh badan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bilik rumah kongsi kebun sayur Pek Ong & Sons di Gua Musang, antara 12 hingga 12.30 tengah malam pada 6 Januari 2017.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali dan tertuduh diwakili peguam bela, Wan Naziruddin Wan Jaafar.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh tangkap pada 6 Januari 2017.

Terdahulu, Wan Naziruddin memohon mahkamah supaya meringankan hukuman kepada anak guamnya kerana mengaku salah yang menjimatkan masa dan kos.

“Kesalahan itu adalah yang pertama dan dia sudah insaf serta melakukan kesalahan itu tanpa niat.

“Dia datang ke Malaysia bagi membantu keluarganya di Myanmar dengan pendapatan RM1,200 sebulan dan sebahagiannya dihantar kepada ibu bapa,” katanya.

Bagaimanapun, Nor Hamizah memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman berat memandangkan kesalahan serius itu perlu dibendung dan jenayah yang dilakukan warganegara asing banyak dilaporkan – hmetro