PENGANGGUR dikenakan hukuman penjara empat hari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kesakitan dan kesengsaraan terhadap seekor anjing baka Siberian Husky, September tahun lalu.

Majistret Zuhair Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap Lai Yik Loy, 35, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Mahkamah turut memerintahkan Lai membayar kos rawatan berjumlah RM6,872 kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam tempoh tiga bulan bulan.

Jika gagal membayar denda itu, Lai selaku Orang Kena Saman (OKS) berhadapan hukuman penjara empat bulan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh OKS ditahan iaitu semalam.

Lai didakwa dengan secara tidak wajar menyebabkan kesakitan dan kesengsaraan tidak munasabah terhadap seekor anjing jantan di Lorong Peel, Jalan Peel, Kuala Lumpur pada 10.30 pagi 26 September tahun lalu.

Bagi perbuatan itu, Lai didakwa mengikut Seksyen 44(1)(dv) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dibaca bersama Akta Binatang (Pindaan 2013) (Akta A1452), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Hasiah Musa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, sepasukan Pegawai Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Wilayah Persekutuan membuat pemeriksaan di tempat kejadian dan mendapati seorang anjing jantan (baka Siberian Husky) ditambat dengan rantai pada tong gas di hadapan pintu masuk tanpa rawatan dan penjagaan sewajarnya oleh pemilik.

Hasil siasatan mendapati anjing itu mengalami infestasi kutu dan penyakit kulit di seluruh badan, jangkitan pada telinga (bernanah dan berulat) serta bengkak di mata kiri.