Oleh: Nazialita Geynna Maharan

SERI MANJUNG: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menempelak kunjungan Pakatan Harapan yang akan melaksanakan jelajah mengenai 1MDB di beberapa kawasan di negeri Perak.

Namun beliau menegaskan tidak berasa gentar sedikit pun dengan perancangan pihak pembangkang tersebut kerana yakin dengan pendirian rakyat negeri Perak yang kini bijak membuat penilaian.

Lebih-lebih lagi, katanya, apabila tindakan mereka yang sebelum ini mempersoalkan ketelusan Program Permukiman Menteri Besar yang dilaksanakan sejak sekian lama telah menampakkan ‘belang’ sebenar pembangkang.

“Saya yakin, rakyat negeri Perak bukan mudah digula-gulakan; mereka sendiri nampak saya turun ke lapangan, tidur dan menyelami perasaan mereka sendiri.

“Mereka ( Pakatan Harapan) mungkin boleh mempersoalkan saya sekiranya saya bekerja di saat-saat akhir. Sebaliknya mereka pula kini yang baru hendak turun bila dekat Pilihan Raya, ironinya di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitiri Parlimen Lumut di Dewan EMV di sini, hari ini.

Dr Zambry berkata, tindakan pihak pembangkang itu ibarat meludah ke langit kerana mereka termalu apabila terkena ludah sendiri kerana mengkritik kerajaan negeri Perak mengadakan program permukiman.

“Sekarang, mereka sapu balik air liur yang kena dekat muka mereka. Saya sudah kata sebelum ini, jangan bermain sentimen, melemparkan tuduhan dan fitnah.

“Hari ini, bila tahu dekat pilihan raya, baru mereka nak turun dan ambil kesempatan. Sedangkan kita kerajaan negeri Perak sudah lama mengambil pendekatan 3P – Padang, Perasaan dan Penyelesaian,” katanya lagi.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini mengumumkan, Pakatan Harapan akan menganjurkan jelajah mengenai 1MDB bermula 6 Julai ini.

Jelajah itu bertujuan untuk menjelaskan kepada orang ramai dakwaan terkini membabitkan sayap pelaburan strategik kerajaan itu menerusi saman sivil terbaru Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) pada 16 Jun lalu.

Program itu yang diadakan bersama-sama Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Warisan Sabah akan diakhiri dengan satu perhimpunan aman pada September depan dengan tarikh dan lokasinya akan ditetapkan kemudian.