PASIR SALAK: Satu taklimat khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama kesemua jemaah menteri kabinet dijangka akan berlangsung Selasa depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata taklimat tersebut juga akan melibatkan kesemua Timbalan Menteri serta para pegawainya di Ibu Pejabat SPRM

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah (Amanah) berkata difahamkan ianya bukanlah taklimat biasa kerana turut akan dipanggil adalah Setiausaha Politik serta Setiausaha Kanan menteri dan timbalan dan akan berlangsung bermula pukul 9.30 pagi hingga 5.30 petang di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
“Saya lihat taklimat ini adalah merupakan agenda yang sememangnya menjurus bukan sekadar peringatan untuk kami tidak langsung terlibat dalam rasuah tapi juga segala panduan sebagai menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Dialog Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Sungai Manik serta Jamuan Aidilfitri di Arena Square Chenderong Balai dekat sini hari ini.

Salahuddin kemudian dalam sidang media selepas itu menerangkan bahawa tujuan sebenar taklimat tersebut adalah sebagai panduan mengenai kuasa seorang menteri di kerajaan baru untuk membantu  Malaysia memerangi amalan rasuah sehingga ke peringkat akar umbi.

“Perdana Menteri ingatkan kami dalam setiap kali mesyuarat agar kabinet untuk lebih berani dan pantas memastikan pentadbiran jentera kerajaan benar-benar dapat beri yang terbaik kepada rakyat tanpa apa-apa halangan.

“Ia termasuklah ciri-ciri yang boleh dikategorikan berlakunya amalan dan budaya rasuah dalam pentadbiran di bawah kerajaan Pakatan Harapan,” ujarnya lagi,

Salahuddin percaya mungkin akan ada beberapa arahan dalam menangani gejala rasuah yang kemungkinan masih berakar umbi dalam pentadbiran negara.

Sementara itu mengulas mengenai isu tangkapan penyelewengan baja padi di sebuah kilang beras di Muar, Johor pada Jumaat, Salahuddin berkata pihaknya sedia memberi kerjasama dengan SPRM bagi menyelesaikan isu rasuah dikalangan pegawai dan kakitangannya.

“Pihak saya sedia memberi kerjasama dan pintu pejabat kementerian sentiasa dibuka seluas-luasnya bagi membantu siasatan jika terdapat penyelewengan membabitkan kakitangan kementerian dan agensi saya demi seluruh kebaikan rakyat,” katanya.

Pada Jumaat lepas, SPRM merampas 3,390 beg baja padi bernilai RM180,534 di gudang premis berkenaan dibekalkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menerusi kontrak kerajaan menerusi Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP).

Kementerian Pertanian dan dan Industri Asas Tani dalam satu kenyataan hari ini berkata, baja yang dirampas di gudang di sebuah kilang beras di Kampung Sayur, Bakri, Muar itu dibekalkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menerusi kontrak kerajaan menerusi Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP).

“Dalam serbuan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada jam 9.15 pagi, kita dapati baja berkenaan disimpan tanpa lesen sah untuk menyimpan barang kawalan.

“NAFAS melakukan pengecaman dan mengesahkan baja sebatian terbabit adalah menerusi SBPKP berharga dalam lingkungan RM39.50 sehingga RM60 seguni.

“Anak pemilik kilang ditahan dan akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 kerana cuba memberi rasuah sebanyak RM5,000 manakala keterangan empat pekerja turut diambil,” katanya.

Kenyataan itu menyebut, operasi terbabit berjaya susulan intipan pihak penguat kuasa selama empat bulan.

“Baja terbabit dibiayai menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan dan dikhaskan untuk kegunaan pesawah di seluruh negara.

“Hasil rampasan akan dipindahkan ke lokasi simpanan yang dikawal pihak keselamatan dan kita akan terus bekerjasama dengan SPRM dan KPDNKK bagi memastikan ketirisan bantuan subsidi dapat dihapuskan.

“Kita akan siasat siapa yang terbabit dalam kegiatan penjualan baja di pasaran gelap dan memastikan hak baja ini dikembalikan kepada pesawah,” katanya.