KUALA LUMPUR : Jemaah Malaysia yang memegang visa umrah dan visa pelancong tidak dibenarkan menaiki pesawat ke Arab Saudi selepas jam 3 petang tadi.

Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancong Bumiputera (BUMITRA), Mohd Ali Ab Malek, berkata semua pesawat dengan jemaah Malaysia yang berlepas ke Jeddah dan Madinah sebelum jam 3 petang tadi, dibenarkan mendarat di kedua-dua bandar raya itu.

“Penerbangan pesawat ke dua-dua bandar raya itu yang dijadualkan hari ini tidak dibatalkan, cuma pemegang visa dalam kalangan rakyat Malaysia sahaja tidak dibenarkan menaikinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, jemaah Malaysia tidak dibenarkan menaiki pesawat selepas jam 3 petang tadi.

Berdasarkan maklumat, katanya, ada jemaah Malaysia menggunakan perkhidmatan Saudi Airlines pada jam 1 tengah hari tadi, manakala Malaysia Airlines Berhad turut membenarkan rakyat negara ini menaiki pesawat setakat jam 3 petang tadi.

“Bagaimanapun, pemegang tiket dan visa dalam kalangan jemaah Malaysia tidak dibenar menaiki pesawat,” katanya.

Mohd Ali berkata, belum ada maklumat lanjut mengenai jangkaan penggantungan sementara visa berkenaan, namun pihaknya tidak menolak ia mungkin berpanjangan sekurang-kurangnya dua minggu.

Katanya, keputusan itu bergantung kepada kerajaan Arab Saudi dan syarikat penerbangan sama ada untuk membenarkannya atau tidak.

Mohd Ali mengakui kalangan pengusaha umrah bimbang dengan situasi berkenaan kerana kebanyakan bayaran sudah dibuat merangkumi penerbangan, hotel, pengangkutan di Tanah Suci dan makan-minum.

“Belum dapat dipastikan sama ada kerugian itu boleh dituntut semua atau sebaliknya.

“Kami minta ahli BUMITRA memaklumkan jangkaan jumlah jemaah yang terkesan dan kerugian bakal ditanggung dalam tempoh 14 hari ini,” katanya.

Bagi pihak BUMITRA, beliau memohon maaf kepada semua jemaah dan meminta mereka berlapang dada susulan arahan kerajaan Arab Saudi itu.

Sementara itu, Pengurus Umrah CSH Holidays Sdn Bhd, Mohd Khairil Azwan, dimaklumkan mengenai perkara itu oleh beberapa wakil pihak muassasah di Arab Saudi, jam 2.30 petang tadi.

“Menurut pihak muassasah di Arab Saudi, semua jadual pelepasan umrah diberhentikan dan tidak dibenarkan menaiki pesawat buat masa ini.

“Apa yang membimbangkan adalah keadaan jemaah setibanya mereka di lapangan terbang atau bahagian imigresen di Jeddah atau Madinah.

“Jemaah mungkin tidak boleh masuk kerana sistem sudah dibekukan.

“Semua sistem dalam talian untuk pengurusan visa umrah dan visa pelancong tidak berfungsi buat masa ini.

“Kami masih menunggu pengesahan Kementerian Luar Negeri di Arab Saudi,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sementara itu, wakil syarikat umrah Tiram Travel mengesahkan ratusan jemaahnya terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan arahan terbaru itu.

“Dua penerbangan membabitkan ratusan jemaah yang sepatutnya menaiki pesawat Saudi Airlines jam 4 petang tadi dibatalkan.

“Kami sedang melakukan perbincangan bagi menyelesaikan masalah membabitkan jemaah yang terkandas,” katanya dalam entri yang dikongsi dalam akaun Facebook rasminya, hari ini.

 

TERKANDAS DI LAPANGAN TERBANG KLIA

TERKANDAS DI LAPANGAN TERBANG KLIARatusan jemaah yang dijangkakan terbatal penerbangan ke Saudi

Posted by Tiram Travel UMRAH on Khamis, 27 Februari 2020