PETALING JAYA: Sekumpulan 453 jemaah umrah yang sepatutnya pulang ke tanahair lima hari lalu berhadapan pengalaman pahit apabila dua kali terkandas di lapangan terbang Arab Saudi.

Kumpulan itu telah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin ABdulaziz di Madinah untuk berlepas pada 22 Disember lalu tetapi perancangan itu tergendala.

Pada Selasa, jemaah itu ke lapangan terbang sama dan sekali lagi penerbangan yang dijanjikan akan berlepas pada pukul 3 pagi (10 malam waktu tempatan) tidak menjadi kenyataan.

Kumpulan itu telah ke Arab Saudi pada 11 Disember lalu  selepas membayar pakej umrah yang ditawarkan sebuah agensi pelancongan.

“Saya mendapat tahu mengenai pakej yang ditawarkan daripada rakan yang pernah mengerjakan umrah menggunakan khidmad agensi ini, dan ketika itu semuanya berjalan lancar,” dakwa jemaah yang hanya mahu dikenali sebagai Izura M.

Menurutnya, agensi itu telah melalui proses penjenamaan semula dan kini tampil dengan nama baharu.

“Pakej umrah ketika ini biasanya sekitar RM6,800 tetapi kami hanya membayar RM3,800 sahaja,” katanya sambil menambah baki bayaran itu sepatutnya dibayar dengan cara bersedekah.

Bagaimanapun, katanya, segalanya bermula dengan halangan apabila penerbangan yang sepatutnya berlepas pada 3 Disember telah ditunda untuk tempoh dua hari.

“Lebih menyedihkan apabila pada 5 Disember, penerbangan sekali lagi ditunda, menyebabkan agensi itu menempah sebuah pesawat untuk menerbangkan semua kira-kira 400 jemaah pada 11 Disember,” katanya.

Sebaik selesai mengerjakan umrah dan apabila tiba di Makkah pula, katanya, jemaah telah beberapa kali terpaksa berpindah hotel semasa menunggu tarikh dan masa penerbangan untuk pulang ke Malaysia.

“Saya sepatutnya mula bekerja pada Selasa selepas 10 hari di Tanah Suci, tetapi berikutan kejadian ini saya terpaksa melanjutkan tempoh cuti,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpuas hati kerana agensi berkenaan berusaha untuk memastikan semua jemaah terlibat dapat tinggal dengan selesa sehingga pulang ke tanahair.

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji, Razali Mohd Sham berkata, pihaknya mendapati agensi terlibat tidak berlesen.

Agensi berkenaan, kata Razali adalah syarikat pelancongan yang melalui proses penjenamaan semula selepas operasinya ditamatkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan kerana masalah penipuan.

“Harga pakej yang ditawarkan juga palsu kerana ia hanya RM3,900. Apa sahaja yang dibawah RM5,000 tidak boleh dipercayai kerana kos penerbangan adalah RM3,200, fi visa kira-kira RM200 dan tentunya penginapan hotel tidak hanya RM200,” katanya.

Katanya, hanya 264 agensi pelancongan yang memiliki lesen sah yang menawarkan pakej umrah.

– mStar