IPOH: Kes jenayah di kalangan pelajar sekolah di negeri Perak masih kecil dan belum sampai ke tahap membimbangkan.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Perak, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, ia hanya melibatkan kes-kes kecil seperti buli dan bergaduh.

Menurutnya, ia juga menunjukkan sedikit penurunan 1.27 peratus kepada 155 kes tahun lalu, berbanding 157 kes tahun 2017.

Di samping itu, kata beliau, kes yang melibatkan dadah di kalangan pelajar juga tidak banyak, iaitu hanya 5 dilaporkan tahun lalu.

“Walau bagaimanapun tindakan harus diambil bagi memastikan benda ini tidak menular ke pelajar-pelajar yang lain, itu yang tujuan kita adakan mesyuarat ini.

“Bagaimana cara-cara untuk kita mengekang benda ni daripada masuk ke dalam sekolah, dengan kekangan itu kita dapat bantu untuk bersihkan pelajar-pelajar ini bebas dari dadah dan jenayah kalau boleh, insya Allah,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pemuafakatan PDRM bersama Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini, pada Selasa.

Mesyuarat dua kali setahun itu antara lain untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan masalah disiplin pelajar sekolah dan bagaimana langkah untuk membenterasnya.

Sementara itu, Ketua Sektor Pembangunan Kemanusian Jabatan Pendidikan Perak, Mat Jaafar Mat Zain berkata, selepas ini, pihaknya akan mengadakan perjumpaan di peringkat jabatan melihat kaedah intervensi yang sesuai dan terbaik.

“Sebelum ini pihak polis dengan cara mereka sendiri dan kita mempunyai cara sendiri tetapi selepas ini kita mahu melihat satu kesepakatan bagaimana kita boleh laksanakan dengan lebih baik lagi.

“Matlamat kita bagi pendidikan, kita bukan untuk mendenda untuk mengambil tindakan terhadap pelajar itu tetapi kita mahu membina semula sebab kita faham bahawa setiap murid mempunyai kelebihan masing-masing,” ujarnya.