Oleh: Mohd. Shafiq Noordin

KUALA KANGSAR: Jenazah Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah selamat dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar di sini pada jam 5.56 petang ini.

Kira-kira 2,000 orang yang terdiri daripada kerabat diraja, orang kenamaan dan rakyat jelata menghadiri pemakaman itu sebagai tanda penghormatan terakhir kepada Almarhumah yang mangkat pada petang semalam.

Turut berangkat, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Terdahulu, jenazah Almarhumah tiba di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan di sini dengan pedati khas ‘Seraja Diraja’ berwarna kuning pada jam 3.10 petang untuk disembahyangkan.

Pedati khas itu diusung oleh 22 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekitar 200 meter dari Galeri Sultan Azlan Shah, di sini sehingga ke Masjid Ubudiah.

 

mangkat6Mengiringi jenazah Almarhumah adalah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa bersama anaknya, Raja Shah Azman dan Raja Nor Azwina.

Jenazah Almarhumah disembahyangkan lebih 1,000 orang termasuk pelajar-pelajar dari Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan dengan diimamkan oleh Imam Masjid Ubudiah, Mohd Helmi Ibrahim.

Imam Besar Negeri Perak, Abd Farid Salleh membacakan talkin sebaik sahaja istiadat pemakaman selesai.

Turut berangkat pada majlis pemakaman itu, Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli serta barisan exco Kerajaan negeri.

Almarhumah, 74, merupakan bekas Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan telah menabur bakti selama tujuh tahun dalam persatuan itu.

Baginda menjayakan setiap program persatuan berkenaan dan melaksanakan tanggungjawabnya dalam majlis penyampaian sumbangan kepada pesakit kanak-kanak, menjayakan program turun padang bersama anggota persatuan serta aktif dalam program pemuliharaan hutan simpan di negara ini.

Almarhumah Raja Nor Mahani juga sangat aktif menjalankan aktiviti kebajikan seperti melawat mangsa banjir dan membantu golongan miskin selain mendekati penduduk kampung di negeri ini.