J‎enazah Orang Besar Jajahan Batang Padang, Allahyarham YBhg Dato’ Seri Yeop Junior Yeop Adlan selamat dikebumikan di tanah wakaf perkarangan Masjid Paloh, Ipoh kira-kira 2.15 petang tadi.

Raja Muda Perak, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Dato’ Seri Yeop Junior Yeop Adlan.

 
Jenazah Allahyarham sebelum itu telah disembahyangkan di Masjid Kampung Melayu Sungai Rapat selepas solat zohor sebelum dibawa ke tanah wakaf perkarangan Masjid Paloh untuk disemadikan. Bacaan talkin telah pimpin oleh Imam Masjid Panglima Kinta, Uztaz Aziz Mat Ali.

Terdahulu pada jam 9 pagi tadi lebih 200 orang telah hadir di kediaman Allahyarham di No 16 Jalan Haji Raffar, Kampung Melayu Sungai Rapat.

 

Antaranya Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Datuk Shalimin Ahmad Shaffie, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamiud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Allahyarham Dato’ Seri Yeop Junior, 75,  meninggal dunia di kediamannya pada jam 7.30 malam tadi akibat barah usus.

Allahyarham semasa hayatnya sebelum ini turut memegang beberapa jawatan penting antaranya Pengerusi Persatuan Kebajikan OKU Batang Padang, Pengerusi Jawatankuasa Baitul Mal Daerah Batang Padang dan Pengerusi Persatuan Mencegah Penyakit TB Perak.