KOTA BHARU: Jenazah Wan Halem Wan Mustapha, 44, bersama anaknya Wan Muhammad Muzzammil, 7, yang lemas di Pantai Sri Telong, Bachok semalam, selamat dikebumikan di dalam satu liang lahad, kira-kira jam 2.30 pagi tadi.

Seramai 100 ahli keluarga dan rakan rapat menghadiri majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam di Bunut Payong di sini.

BERITA TERDAHULU : Mangsa Terakhir Tragedi Tiga Beranak Lemas Ditemui

Adik ipar Wan Halem, Muhd Badawi Ibrahim, 31, berkata terdahulu kedua-dua jenazah dibawa ke rumah mereka di sini selepas bedah siasat di Unit Forensik, Hospital Raja Perempuan Zainab II.

“Kami reda dengan ketentuan Tuhan dan menganggap ini semua sebagai ujian-Nya,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian jam 2.45 petang semalam, kegembiraan lapan sekeluarga mangsa berkelah di pantai sempena cuti sekolah, berakhir dengan tragedi.

Wan Halem bersama dua anak, Wan Muhammad Muzzammil dan Wan Ukkasyah, 12, dikatakan cuba menyelamatkan seorang lagi anaknya, Wan Umair, 11, ketika mereka sedang mandi.

Bagaimanapun, Wan Halem, Wan Ukkasyah dan Wan Muhammad Muzzammil ditarik arus sebelum lemas.

Mayat Wan Halem dan Wan Muhammad Muzzammil kemudian ditemui orang awam tidak jauh dari tempat kejadian.

Mayat Wan Ukkasyah pula dijumpai terdampar di pesisir pantai kira-kira jam 6.30 pagi tadi oleh anggota penyelamat yang membuat rondaan – berita harian