IPOH: Jenazah isteri kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, Allahyarham Puan Sri Azizah Hamdi selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam sekitar 10.20 pagi di Kampung Rapat Jaya, dekat sini pada pagi tadi.

Allahyarham, 58, yang menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 7.02 malam semalam akibat barah disemadikan bersebelahan kubur anak lelaki tunggalnya yang meninggal dunia pada tahun 2007.

Difahamkan, jenazah tiba di rumah ibu Allahyarham sekitar pukul 1 pagi di Kampug Rapat Jaya selepas disembahyangkan di Masjid Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada pukul 9 malam semalam.

BERITA TERDAHULU: Isteri KPN Meninggal Dunia

Azizah, yang mengambil alih jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia pada 4 Sept lalu meninggal dunia di PPUM pada 7.02 petang semalam.

Allahyarham yang dikenali sebagai seorang berjiwa kental pergi selepas 15 tahun bertarung dengan penyakit kanser dan meninggalkan tiga anak.

Dalam pada itu,seawal pukul 7.30 itu, kira-kira 300 individu telah berkumpul di sekitar Masjid Kg Melayu Gunung Rapat dekat sini di mana jenazah disembahyangkan.

Sejurus selepas itu, sekitar 1,000 individu termasuk kakitangan PDRM dari pelbagai jabatan,pemimpin, malah orang awam hadir memberi penghormatan terakhir kepada Mohd Fuzi sekeluarga dan menyertai talkin di tanah perkuburan tersebut.

Antara yang hadir adalah, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman (StaRT), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman,Datuk Seri Abd. Rahim Hanafi,Pengarah Cawangan Khas PDRM,Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff dan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan serta ketua-ketua polis negeri lain.