SHAH ALAM: Jenazah Allahyarhamah Puan Sri Azizah Hamdi, isteri Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, disembahyangkan di Surau Khalid Al-Walid, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, kira-kira 10 malam ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamah Azizah yang tiba dari Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), Petaling Jaya, kira-kira 8.30 malam dimandi dan dikafankan di surau berkenaan.

Antara orang kenamaan yang hadir memberi penghormatan terakhir adalah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor.

Dalam ucapan ringkas selepas solat jenazah, Mohamad Fuzi berkata beliau redha walaupun berasa berat hati dengan pemergian Azizah yang melalui proses rawatan panjang sejak disahkan menghidap kanser pada 2002.

“Terima kasih kepada semua atas ucapan takziah dan yang telah mendoakan isteri saya. Kalau ada salah silap arwah, mohon dimaafkan…mohon halalkan makan dan minumnya.

“Arwah juga minta dikebumikan di Ipoh, Perak bersebelahan kubur arwah anak lelaki tunggal kami yang meninggal dunia pada 2007,” katanya.

Jenazah Allahyarhamah Azizah kemudian dibawa ke kampung halamannya di Rapat Jaya, Ipoh, untuk dikebumikan kira-kira 9 pagi esok.

Azizah, 58, meninggal dunia di PPUM pada 7.02 petang tadi, selepas 15 tahun bertarung dengan penyakit kanser.

Beliau yang mengambil alih jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia pada 4 Sept lalu, meninggalkan tiga anak. — Bernama