Batu Gajah: Jenazah Anita Zuriana Abu Zarim, 46, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Ipoh-Lumut, di sini petang tadi selesai dibedah siasat dan dituntut ahli keluarga.

Jenazah dituntut oleh ibu, abang dan anak kedua Allahyarham serta beberapa ahli keluarga lain, kira-kira 12 tengah malam tadi.

Jenazah mangsa akan dibawa ke rumah keluarganya di Shah Alam, Selangor dan dijangaka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam pagi nanti.

Sementara itu, jasad empat sekeluarga yang turut terkorban dalam kemalangan itu masih belum dituntut oleh mana-mana ahli keluarga mereka sehingga tengah malam tadi.

Dalam kemalangan 3.30 petang itu lima maut manakala tiga parah selepas Mercedes Benz bertembung dengan Toyota Vios.

Empat sekeluarga yang maut adalah pemandu Vios dikenali Leong Kok Chuen, 37; bapanya Leong Chuen Meng, 67; ibunya Lee Fong Lan, 61, serta adik perempuannya, Leong Sook Yee, 34.

Suami Anita Zuriana, Radzlan Mohamed, 50, yang memandu Mercedes Benz serta dua anaknya Anisa Rizuana, 19, dan Azra Rhea, 13, parah dalam kemalangan itu.