IPOH: Jenazah tiga beranak yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 3.5 Jalan Ipoh – Lumut awal pagi tadi selamat dikebumikan.

Jenazah Muhammad Syafiq Isyammuddin, 25 , Imrrah Yumna Muhammad Syafiq, 2 tahun dan Aniq Hamzah Muhammad Syafiq, 10 bulan dikebumikan pada pukul 2.15 petang di tanah perkuburan Islam Meru Raya, Ipoh.
Jenazah Muhammad Syafiq serta anak lelakinya dikebumikan dalam satu liang manakala jenazah anak sulungnya disemadikan dalam liang berasingan.

Terdahulu jenazah disembahyangkan orang ramai di Surau Al Hidayah, Kampung Tersusun Jelapang Jaya Ipoh.

Kira-kira 200 orang termasuk ahli keluarga dan rakan taulan hadir memberikan penghormatan terakhir kepada ketiga-tiga jenazah.

Dalam kejadian pukul 1.15 pagi itu, kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Muhammad Syafiq dirempuh dua kenderaan lain di Kilometer 3.5 Jalan Ipoh-Lumut berhampiran selekoh Puncak Jelapang Maju,

Muhammad Syafiq serta dua anaknya meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, Nurul Nadia Baharizan, 28 tahun, seorang wanita berusua 79 tahun dan dua lelaki pula cedera parah.
Bapa mertua mangsa, Leftenan Kolonel Baharizan Zainal Abidin yang ditemui selepas urusan pengebumian berkata, anaknya kini sudah mula sedar dan berada dalam keadaan stabil di Hospital Ipoh.

Beliau yang juga Pengarah Dasar dan Pengurusan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) berkata, kali terakhir beliau berjumpa dengan menantu dan kedua-dua cucunya itu pada Hari Raya Aidiladha yang lalu.

Ditanya pemberita tentang emosi anaknya, Baharizan berkata, beliau tidak dapat membaca emosinya.

“Saya harap dia tabahlah, jadi apapun, saya redha lah sebagai hamba Allah,’’ katanya.