TAPAH: Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) perlu memiliki tiga daya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengerusi BN Tapah, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, tiga daya itu ialah daya tahan, daya juang dan daya saing.

Beliau berpendapat, tempoh sehingga hari mengundi 9 Mei sangat penting kerana ia bakal menentukan masa depan negara.

“Oleh itu, jentera BN perlu ada tiga elemen penting iaitu daya tahan, daya juang dan daya saing untuk menghadapi lawan,” katanya ketika berucap melancarkan Briged Gempur 2314, Pemuda BN Parlimen Tapah di Arena Merdeka, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri M Saravanan, wakil Datuk Dr Mah Hang Soon, Chong Seng Hing dan Ketua Pemuda BN Tapah, Safri Mohd Salleh.

Terdahulu, mereka menyertai lebih 1,000 anggota Briged Gempur 2314 Pemuda BN Tapah di dalam konvoi bermotosikal dari Kompleks Sukan di Tapah Road ke Arena Merdeka.

Samsudin berkata, BN telah memperjuangkan nasib rakyat sejak merdeka sehingga membawa banyak kemajuan negeri Perak dan negara Malaysia.

“Contohnya, Perak akan dapat sebuah lapangan terbang di Seri Iskandar dan kita memerlukan sokongan padu rakyat, termasuk penduduk Tapah, untuk merealisasikannya,” ujar beliau.

Beliau juga berharap agar Tapah yang mempunyai 37 pusat daerah mengundi (PDM) akan terus menjadi model semangat BN kerana mempunyai wakil rakyat daripada Melayu, Cina dan India.

Sementara itu, Saravanan yakin Tapah akan jadi kubu kuat BN selama-lamanya kerana banyak kejayaan dan pembangunan yang telah dilakukan.

“Wakil-wakil rakyat UMNO, MIC dan MCA berganding bahu untuk sama-sama membangunkan Tapah dan menjaga kebajikan semua rakyat di parlimen ini,” ujarnya.

Beliau berkata, kemakmuran hasil kestabilan politik yang dibawa BN selama ini, bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat negara ini, malah turut dirasai oleh seluruh dunia.

Beliau memberi contoh, berjuta-juta rakyat negara luar datang ke negara ini untuk mencari rezeki di negara ini.

BERITA BERKENAAN : Senarai Calon BN Perak Siap, Umum Calon Tidak Lama Lagi

BERITA BERKENAAN : Perak Paling Sedikit Masalah