PASIR SALAK: Calon Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman berkata sikap sesetengah jentera parti meletakkan jawatan berikutan calon kegemaran mereka tidak dicalonkan semula untuk kerusi DUN atau Parlimen dilihat sebagai tidak rasional.

Bekas Timbalan Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata perkara seperti merajuk atau kecewa berikutan pengguguran nama itu merupakan lumrah biasa dalam mana-mana PRU namun keputusan pucuk pimpinan perlu dihormati oleh semua pihak.

Katanya, hanya terdapat seorang sahaja yang terpilih untuk mewakili kerusi dan beliau berharap ianya dapat diambil kira baik oleh calon tidak terpilih atau jentera parti dengan hati terbuka.

“PRU, boleh ambil satu orang sahaja untuk satu kerusi, apa yang merajuk, ini merajuk sekejap sahaja. Sesetengah itu masih tengah panas, tengah emosi, tapi saya rasa dalam tempoh beberapa hari mereka akan balik rasional, kepada pertimbangan meraka dan berfikir secara matang bahawa merajuk ini tak ada faedah, tak ke mana.

“Kalau dia orang parti BN, dia mesti utamakan parti. Menang parti, dia pun menang, kalau parti kalah, dia menang, tak ada maknanya. Ini sangat penting, kalau kita tak ada kuasa apa pun tak boleh buat, kalau kita ada kuasa kita boleh tolong. Baik yang dicalonkan atau tidak, kita boleh tolong dalam pelbagai bentuk,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Menu Tradisi Negeri Perak di Arena Square Kota Setia, dekat sini hari ini.

Tajuddin juga mengingatkan bahawa tiada sebarang manfaat diperoleh baik secara peribadi malah membawa kerugian kepada parti dan berharap agar mereka yang berasa kecewa mengenai pencalonan calon pilihan meraka akan dapat berfikir semula secara baik dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Yang dicalonkan itu pula, jangan terlampau ghairah, jangan terlampau gelojoh. Orang yang tak terpilih itu ada perasaan, kita jangan tinggalkan meraka kita jumpa dengan mereka dan kita pujuk mereka, agar mereka dapat kembali kepada pemikiran matang,”ujarnya lagi.

BERITA BERKENAAN : Kayves Ikut Emosi – Tajuddin