IPOH: Jerebu di Perak kini berada pada tahap sederhana dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di empat lokasi mencatatkan bacaan IPU antara 55 hingga 65 pada jam 9 pagi ini.

Berdasarkan laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), Taiping menjadi daerah yang mencatatkan IPU paling tinggi di negeri ini iaitu dengan bacaan IPU 65.

Ia diikuti Pegoh di Ipoh dengan bacaan IPU 64 manakala daerah Manjung yang menjadi kawasan paling terjejas teruk semalam sudah beransur pulih dengan bacaan IPU 61

Satu lagi lokasi di Ipoh iaitu di Tasek pula mencatatkan bacaan IPU 55.

Bacaan IPU di Tanjung Malim pula berada pada tahap baik iaitu dengan bacaan IPU 28.

Di Georgetown, kualiti udara di negeri ini juga merekodkan bacaan IPU sederhana.

Setakat 10 pagi tadi, bacaan IPU 80 direkodkan di Seberang Jaya, Seberang Perai (75), Minden (69) dan Balik Pulau (67).

IPU 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Untuk maklumat lanjut mengenai bacaan IPU terkini seluruh negara, layari laman web apims.doe.gov.my – berita harian